Sunday, July 20, 2008

Adab Makan Dan Minum

Makanlah kita dengan berniat untuk bertaqwa dengan mentaati Allah SWT dan beribadah kepadaNya, di samping merupakan makanan yang halal.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :

" Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh."

( Surah Al Mukminun : 51 )

Apabila kita makan kerana Allah S.W.T, maka patutlah kita terlebih dahulu mencuci tangan.

Nabi SAW bersabda :

"Wudhu' ( mencuci tangan ) sebelum makan menolak kemiskinan dan sesudahnya menolak kegilaan." Patutlah engkau makan di atas saprah, kerana hal itu lebih mendekati sunat.Nabi SAW, bila dihidangkan makanan, meletakkannya di atas tanah, kerana lebih menunjukkan kerendahan diri.

Nabi SAW bersabda :

"Aku tidak makan sambil bersandar.Sesungguhnya aku adalah seorang hamba.Aku makan sebagaimana hamba yang makan dan minum sebagaimana hamba yang minum."

Tidaklah dikatakan bahawa makan di atas meja itu terlarang.Tidaklah setiap yang baru itu dilarang.Patutlah ia duduk dengan baik di atas saprah pada awal duduknya dan seterusnya begitu.Demikianlah yang dilakukan Nabi SAW.Barangkali ia berlutut untuk makan dan duduk di atas telapaka kakinya akan meletakkan kaki kanan di atas kaki yang kiri.

Hukumnya makruh makan dan minum sambil tidur dan bersandar, kecuali bila uzur atau ada yang memberatkannya.Hendakhlah kita berniat makan dan minum sedikit, kerana tidak benar niat makannya untuk ibadah, kecuali dengan itu.

Nabi SAW bersabda :

"Tidaklah anak Adam memenuhi sebuah wadahnya yang lebih buruk daripada perutnya.Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan yang menegakkan sulbinya.Jika tidak dapat dilakukannya, maka sepertiga bagi makanan, sepertiga minuman dan sepertiga bagi nafas."

Dengan demikian, ia seharusnya tidak makan kecuali sesudah merasa lapar, kerana makan terlalu kenyang membuat hati menjadi keras.Hendaklah ia berhenti sebelum kenyang dan tidak menunggu makanan dan kuah yang enak, kerana termasuk kemuliaan roti adalah tidak menunggu kuah.

Ia juga sepatutnya berusaha mengajak orang ketika makan,walaupun dari keluarga dan anak.Sebaik-sebaik makanan adalah jika ramai orang memakannya."Adalah Nabi SAW tidak makan sendirian..

Thursday, July 10, 2008

Berfikir sejenak akan kata-kata Tuan Guru

* Sedutan dari akhbar Harakahdaily.Net

Pilih Pakatan Rakyat ganti kerajaan Umno/BN
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat
Thu | Jul 10, 08 | 4:35:35 pm MYT

Permintaan Umno supaya "Yang di-Pertuan Agong campurtangan bagi menangani penghakisan hak-hak keistimewaan bumiputera" (Utusan Malaysia, 8 Julai 2008) ibarat mengesahkan satu perkara sahaja iaitu Umno yang telah mengangkat kedua-dua belah tangan.

Dia sendiri telah secara muktamad mengesahkan kegagalan parti itu sebagai pembela orang Melayu. Sudah selama 50 tahun dia membela(?).

Nasib orang Melayu menjunam dalam hampir semua pentas; agama, bangsa, tanah dan air.

Bertolak dari kegagalan agama yang boleh disukat melalui pemisahan pemerintahan dengan Islam, menukar Islam sejati dengan Islam Hadhari, gejala ratusan ribu umat Islam yang murtad, sejuta penagih dadah, bangsa Melayu yang kekacauan identiti dan jati diri dari segi bahasa, adat, budaya dan budi; tanah rezab Melayu yang semakin susut serta terjual dan tergadainya tanah, air dan pasir dalam bentuk pukal akibat rundingan dan perjanjian yang tidak cermat dengan negara jiran.

Jika orang Umno asyik minta Yang Di-Pertuan Agong campur tangan untuk memperbetulkan setiap kali kesalahan yang dibuat mereka, sedarkah Umno bahawa Yang di-Pertuan Agong inipun adalah Raja bagi seluruh warganegara.

Apa kata jika mereka pun mengangkat memorandum balas membantah dasar-dasar diskriminasi Umno terhadap segala ketidakadilan Umno.

Ini semua bertolak dari perletakan paksi perjuangan yang salah. Jika Umno dari awal tidak meletakkan paksi bangsa dalam perjuangannya, bahkan meletakkan Islam sebagai asas, saya percaya keadaan tidak jadi setenat ini.

Apabila Umno membesar-besarkan bangsa, mengibar keris telanjang, mengacah dan mengucup keris berterusan, orang bukan Melayupun boleh gerun.

Apabila naluri manusia terasa terancam, mereka pada logiknya juga akan menggunakan sentimen bangsa sebagai perisai pertahanan yang sama. Mereka akan mengumpul dan menggunakan persamaan dan perkongsian sentimen sebagai benteng pertahanan.

Ini segala-galanya berpunca dari Umno. Sebab itu, polemik mengenai perpaduan nasional tidak pernah selesai.

Jika Islam yakin bahawa kaedah pengagungan bangsa adalah formula yang tepat, sudah lama Nabi SAW menggunakan keunggulan suku bangsa Quraisy sebagai tunjang perpaduan kaum. Semua orang diwajibkan menerima Quraisy segagai bangsa "superior".

Soalnya, kenapa Nabi Junjungan kita tidak memilih berbuat begitu?

Bahkan sebaliknya, Baginda menempelak asobiyah bangsa dengan sepotong sabda bermaksud, "tiada kelebihan bangsa Arab atas bangsa �Ajam kecuali dengan taqwa."

Kini sesudah 50 tahun, tanpa diatur dan ditunjuk-tunjuk oleh pemimpin Umno sekalipun, orang Melayu sudah lama tahu punca silapnya orang Melayu.

Mereka sangat tahu bahawa kegagalan ini disebabkan pengkhianatan pemimpin Umno dahulu dan sekarang yang tergamak memperkuda dan memperhambakan Melayu sesama Melayu.

Berselindung di sebalik istilah bumiputera, mereka (Umno) ratah daging dan darah sesama Melayu. Jika adapun usaha, mereka cuma berminat mengada-adakan projek yang boleh memperkayakan segelintir pemimpin Umno dan kroni.

Lihat sahaja isu di sekitar penjualan pasir satu waktu dulu, penguasaan saham di ECM Libra, Scomi, pembelian bas-bas RapidKL, isu kapal selam, siapa berada dibelakang Bernas dan terkini pula berbangkit soal tuduhan penglibatan pemimpin Umno dalam kontrak pembinaan Terminal Penerbangan Tambang Murah di Sepang atau disebut LCCT.

Saya cuma sedut beberapa contoh untuk sekadar menggambarkan perihal curiganya rakyat terhadap kerja Umno yang kononnya membela orang Melayu.

Bila terdesak rapat ke dinding, mulalah panggil Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu. Satu masa nanti, jangan terkejut jika Kebawah Duli Raja-Raja Melayu kitapun boleh tiba ke tahap meragui keupayaan Pemimpin Negara yang ada sekarang. Di peringkat itu, saya tidak tahulah apa yang akan terjadi.

Sekarang, benih yang salah, yang ditanam 50 tahun lalu sudah berbuah. Ia beracun dan cukup pahit bila dimakan.

Ia telah menimbulkan loya dan sedang menyebabkan muntah-muntah di kalangan Melayu dan bukan Melayu. Hakikat jatuhnya hampir separuh kerajaan-kerajaan negeri dari tangan Umno/BN dalam pilihan raya 8 Mac lalu adalah testimoni.

Ini berbeza dengan PAS. Kita tidak bermuka-muka. Kita mahukan Islam sejak dari tahun 1951 hingga kini dan Insya Allah, hingga sampai ke hari kiamat.

Jika Umno bermula dari Islam sejak awal penubuhannya, tentu keadaan tidak menjadi begini.

Dengan menolak Islam dan mengambil faham kebangsaan, Umno secara terbuka sanggup mendepani mana-mana gerakan siasah yang mahukan Islam.

Bermacam-macam tindakan zalim telah dibuat walaupun di luar lingkungan keizinan demokrasi.

Dalam banyak hal, dia (umno) memperalatkan kuasa majoriti yang diperuntukkan dalam amalan demokrasi untuk menyekat dan menyusahkan pergerakan dan kemajuan agamanya sendiri.

Saya masih ingat lagi bagaimana ramai ulama�, ustaz dan aktivis Islam ditangkap dan disiksa.

Ada Adun PAS yang mati dikapak di tengah-tengah pekan Kota Bharu pada tahun 1960an.

Ada Adun dari Pasir Mas yang disumbat ke dalam penjara hingga menjadi hilang ingatan.

Ada jambatan dibakar di Rantau Panjang untuk menyekat pengundi-pengundi PAS dari keluar mengundi.

Ada penjawat awam yang menyokong gerakan Islam yang ditukar, ditahan kenaikan gaji dan disekat kenaikan pangkat.

Ada yang dicerai dan hidup menjanda kerana rumahtangga mereka porak peranda akibat suami yang disumbat ke penjara melalui ISA. Semuanya ini terlalu banyak berlaku di Kelantan.

Di Kedah pula, 14 orang ustaz dan orang awam dikepung dan ditembak hidup-hidup pada tahun 1986. Memali tiba-tiba menjadi kolam darah yang mengambus jasad syuhada, pejuang dan para wali.

Tanpa segan silu, Umno jugalah yang menafikan banyak peruntukan pusat dari mengalir ke Kelantan dan Terengganu. Siapa berani mengatakan bahawa sekatan penerimaan royalti minyak kepada Kerajaan Negeri Terengganu diantara tahun 1999 � 2004, misalnya, tidak berunsur politik?

Kini, Umno memutuskan Kerajaan Terengganu diberikan semula royalti kerana diperintah oleh Umno/BN.

Tidak zalimkah lagi? Lihatlah betapa siksanya pejuang-pejuang, penyokong-penyokong dan pencinta Islam untuk hidup di bawah dasar-dasar kemelayuan Umno yang melampau.

Pendek kata, terlalu panjang senarai kezaliman yang dilakukan oleh Umno kerana mengambil kebangsaan dan meninggalkan Islam.

Kini setelah 50 tahun, segala kudis, nanah, panau dan kurap penyakit asobiyah telah keluar ke permukaan.

Ada kes pembunuh Altantuya yang disebut-sebut melibatkan pemimpin tertinggi Umno. Setelah DSAI tidak terbukti melakukan liwat walaupun dituduh melakukan liwat 10 tahun yang lalu, kini dituduhnya beliau sekali lagi melakukan liwat. Lagi!

Belum reda dengan kemarahan rakyat mengenai kenaikan harga petrol, rakyat dihidangkan pula dengan berita terlepasnya Pulau Batu Putih daripada tangan Malaysia.

Entah. Saya tidak nampak cahaya lagi di hujung terowong masa depan untuk Malaysia baik dunia atau akhirat selagi berada di bawah Umno/BN. Majoriti rakyat pun saya kira sudah berkesimpulan begitu.

Ini boleh dikesan melalui pelbagai tulisan-tulisan kekecewaan baik di akhbar perdana, warta-warta mingguan, media-media nyamuk dan suara-suara berita dari akhbar-akhbar alternatif. Jika orang muda yang selalu buka laman web dan blog, fenomena ini semakin jelas.

Apa yang ada di hadapan rakyat sekarang cuma satu sahaja iaitu memilih Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif.

TUAN GURU DATO' NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Menteri Besar Kelantan

6 Rejab 1429/ 9 Julai 2008

Monday, July 7, 2008

Dosa itu dan dosa lagi

Ya Allah Tuhanku ...pemilik akan kesemuanya yang berada di muka bumi dan seluruh alam semesta...

Dosa dan dosa..

Hati dan jiwaku tertunduk sayu dan kaku..sehingga bilakah hati serta jiwaku ini akan berterusan di dalam kecamuk dan renyuk gara-gara dari perbuatan sendiri..Ya Allah hati ini amat kerdil dan hina bagi memanjatkan doa dan meminta pertolongan...namun apa yang terdaya bagi hati jua anggota pancainderaku ini..tidak mampu ia menanggung seorang diri..terkial-kial dan tercari-cari akan penawar bagi hatinya yang sedia ada matinya..kotor dan terhijab antara dirinya bersama Tuhannya.

Telah berkata Tuan Guruku Dato Dr Harun Din pada kuliahnya malam ini (07/07/08) :

Tidak akan menyerap ilmu kepada seseorang itu jika ia berterusan mengekalkan segala apa jua bentuk maksiat..dari situ daku terduduk diam dan tertunduk akur...tanpa disedari airmata lelakiku itu berderai lagi bagi mengenangkan dosa serta kesalahan yang kerap daku lakukan...

Ya Allah sampai bilakah dosa-dosa ini akan terus berlaku..sesungguhnya daku amat tidak berdaya bagi mengekang ujian dan mehnah di selangi godaan nafsu yang menggilaa...

Ya Allah permudahkanlah urusanku..permudahkanlah rancanganku pada awal tahun hadapan agar ia mampu mengakhiri segala beban yang kerap kali ku tanggung seorang diri...terkadang daku menyalahkan diriku sendiri...rezki serta urusanku kerap kali gagal serta tampak payah untuk diharungi..hanya kasih serta sayang dari pemilikKu bisa mengamanku hatiku yang senantiasa di dalam kecederaan yang teramat payah agar bisa satu hari nanti daku mampu mebimbing diriku serta orang lain di dalam medan juang agar kami sama-sama dapat mencintai dan mati di jalanMu...

Ya Allah bantulah aku...bantulah kami semua agar senantisa kami di dalam kasihMu....ameinn