Sunday, April 29, 2007

Berzuhud Di Dunia


Adapun berzuhud di dunia itu sahabat-sahabat adalah merupakan semulia-mulia perkara yang boleh menyelamatkan kita, dan mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T.Allah jua telah berfirman sebagai tanda menggalakkan kepada para hambaNya supaya mengutamakan zuhud di dunia sepertimana di dalam firmannNya yang bermaksud :

"Kami telah menjadikan apa yang di atas bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami menguji mereka, siapa di antara mereka yang amat baik pekerjaannya, dan sesungguhnya Kami menjadikan pula di bumi tanah yang kosong."
( Al Kahfi : 7-8 )


Firman Allah lagi :

"Dan apa yang diberikan kepada kamu itu hanya sesuatu dari mata benda dan perhiasan kehidupan dunia , tetapi apa yang ada di sisi Allah itu adalah lebih baik dan lebih kekal, mengapa kiranya kamu tidak fikir-fikirkan.Adakah sama orang yang Kami janjikan kepadanya janji yang baik, lalu ia menerimanya dengan orang yang Kami berikan kepadanya perhiasan kehidupan dunia, kemudian di Hari Kiamat dia termasuk golongan orang yang dihadapkan (untuk menerima hukuman)? "
(Al Qasas : 60-61)


Firman Allah lagi :

"Bahkan kamu lebih memilih kehidupan dunia.Sedang kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal."
(Al A'la : 16-17)


Sabda Nabi S.A.W :

"Berzuhudlah di dalam urusan dunia nescaya Allah akan mencintaimu.Dan berzuhudlah kepada apa yang ada di tangan manusia, nescaya mereka akan mengasihanimu."


Sabda baginda lagi :

"Anggaplah dirimu di dunia sebagai seorang musafir, ataupun penumpang jalan, dan kiralah dirimu itu dari penghuni kubur."


Sabda baginda lagi :

"Barangsiapa mencintai akhirat akan terancamlah dunianya, dan barangsiapa yang mencintai dunia akan terancamlah akhiratnya.Lantaran itu hendaklah kamu memilih yang kekal (akhirat) daripada binasa (dunia)."


Sabda baginda lagi :

"Siapa yang bangun pagi sedang ingatannya hanya pada akhirat semata, nescaya Allah akan menghimpunkan segala urusannya, memelihara perusahannya, dan dunia akan datang menyembah kepadanya."


Hakikat kezuhudan itu ialah menyingkirkan dunia dari fikiran serta menghapuskannya dari hati, sehingga ia terpandang kecil sahaja di mata, tiada berguna.Ketika itu si hamba akan merasakan ketiadaan dunia sama sekali, ataupun sedikit daripadanya lebih ia cintai dan lebih utamakan dari banyaknya dunia yang datang bertalu-talu.Hal ini diukur dari segi batin.

Adapun dari segi lahir maka hendaklah seorang yang bersifat zuhud itu berpaling dari dunia , dan membelakanginya padahal ia berkuasa untuk mengumpulnya.Apa yang diambil dari mata benda dunia itu, hanya sekadar yang mencukupi untuk makan minum, pakai dan tempat tinggal, dan sebagainya dari benda-benda yang sangat di perlukannya sahaja, sebagaimana yang disabdakan Nabi S.A.W :

"Hendaklah kadar yang diambil oleh seseorang kamu dari dunia hanya sebanyak bekal seorang musafir."


Adapun orang yang sangat mencintai dunia dan hatinya amat cenderung kepada dunia, seraya mengumpul dari mata bendanya dengan maksud untuk bersenang-senang dan menikmati segala syahwat dan kelazatannya, maka orang itu tergolong ke dalam kategori orang-orang yang menyayangi dunia, tiada sedikitpun kena mengena dengan kezuhudan.Akan tetapi jika seseorang itu cenderung kepada dunia dan menyayanginya, bukan untuk menikmati kenikmatan seorang diri, malah untuk membelanjakannya kepada jalan-jalan kebajikan dan menabur bakti untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, maka amalan tersebut itu memang di anggap baik, jika benar-benar menepati niat dan maksudnya.Dalam hal ini juga sudah tentu tidak dapat tidak akan terkena jua bahayanya.

Adapun orang yang mengejar dunia, dan sentiasa berharap kepadanya, tetapi terus lari daripadanya dan segala cita-cita dan kehendaknya belum juga tercapai, maka tinggallah ia hidup miskin, tidak punyai apa-apa, maka si miskin ini juga bukanlah seorang yang zuhud.Akan tetapi kerana bersabar hidup miskin itu ia kan dimuliakan Allah S.W.T dan akan dibalasnya dengan pahala yang besar, selama ia bersabar dan redha akan ketentuan Allah itu.

Jika seseorang itu bersenang-senang dalam kehidupan dunia dan bermewah-mewah dalam syahwat dan kelazatannya, lalu ia mendakwa diri tidak sukakan dunia, dan hatinya tidak tertarik kepadanya tentulah itu telah melakukan penipuan yang nyata.Jika inilah keadaannya tentulah ia tiada mempunyai pimpinan yang boleh di pegang dari imam-imam yang mendapat petunjuk, ulama-ulama salihin , ataupun dari para salaf dan khalaf, perhatikanlah hal ini dan moga-moga Tuhan memberi petunjuk kepada kita semua terutamanya kita dari golongan yang mengerti akan hukum hakam agama.amin..

Salam imtihan buat semua sahabat-sahabat di perlembahan Nil yang akan berlangsung dua minggu lagi bagi kuliah Tanta.Mudah-mudahan Allah S.W.T memudahkan urusan kita.amiinnn...

Ilmu Mengangkat Martabat Manusia

Daripada Abu Hurairah R.A berkata : Telah di tanya Rasulullah S.A.W akan siapakah orang yang paling mulia di sisi Allah S.W.T? lalu Nabi S.A.W menjawab :

"Orang yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa."

Seterusnya mereka berkata lagi : Bukan ini yang ingin kami tanyakan.Lalu Nabi menjawab pula:
"Kalau begitu mungkin kamu maksudkan itu Nabi Yusuf A.S, kerana baginda adalah seorang Nabi, anak seorang nabi, anak kekasih Allah ( bermaksud Yusuf Bin Yaaqub Bin Ishak Bin Ibrahim A.S)".

Mereka berkata lagi : Bukan ini yang kami tanyakan. Terus Nabi menjawab lagi :

"Apakah kamu bertanya tentang tokoh-tokoh daripada bangsa-bangsa Arab !!".

Mereka menjawab : Ya !! lalu baginda bersabda :

" Orang-orang yang baik pada zaman jahiliyah dulu , itulah juga orang-orang yang baik di zaman Islam ini , apabila mereka alim dengan hal-hal agama. "

(riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian

Sesungguhnya ilmu itu sahabat-sahabat telah mengangkat martabat siapa yang memilkinya.Barang siapa yang mempunyai ilmu pasti tinggi martabatnya walaupun ia masih muda atau hanya dari keturunan orang fakir miskin.Sebaliknya orang yang tidak berilmu itu martabatnya rendah walaupun ia berasal daripada keturunan orang yang berada dan dari keluarga yang hebat dan senang serta kaya.

Oleh itu sahabat-sahabat alangkah indahnya jika kita menuntut ilmu lalu terus diamalkn lalu di sampaikan kepada orang yang terdekat dengan kita agar ia terus berjalan dan berkembang bagi melahirkan generasi yang benar-benar menyintai agamanya dan sanggup berjuang untuk agamanya.Moga Allah kurniakan keatas kita kekuatan untuk menjadi seorang penuntut ilmu yang benar-benar mengamalkan segala ilmu yang kita pelajari. Aminnn..

Wednesday, April 25, 2007

Apabila Rindu Bertandang Lagi


Pejam celik tarik nafas makan minum sepanjang hari, rupanya tanpa ku sedari sudah setahun empat bulan aku berada di bumi Mesir,tetapi kurasakan sudah seperti 10 tahun berada di bumi kinanah ini. Entah mengapa terdetik rasa rindu teramat dengan tanah air.Khususnya bumi Kelantan.

Sudah 3 tahun lebih daku meninggalkan bumi itu.Bumi yang penuh berkah dan mengandungi pelbagai khazanah yang tidak ternilai.Kenangan pahit dan manis suka dan duka yang sukar di perolehi dan di miliki apatah lagi dijual beli.Memori bersama dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang bersama-sama mengharungi pahit getir menuntut ilmu Allah yang Maha Tinggi.Entah mengapa rindu itu bertandang lagi.

Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat Pasir Mas (MTDQ), sebuah insitusi pengajian yang tidak perlu di perkenalkan lagi kepada para penuntut yang pernah belajar dan menetap di bumi Kelantan.Maahad yang di asaskan oleh al Fadil al Ustaz Subki Bin Abdul Rahman yang merupakan pelajar lepasan Universiti Al Azhar.Maahad ini di dirikan selepas kepulangan beliau dari bumi Azhar dan menabur bakti ilmu untuk anak tempatan di kampung halaman beliau sendiri.Dengan jerit payah dan bantuan sokongan dari saudara terdekat maka Maahad ini berjaya di dirikan dengan izin Allah S.W.T.

Maahad yang menerima kemasukan pelajar yang ramai daripada seluruh tanah air Malaysia dan tidak ketinggalan dari luar Malaysia antaranya daripada Singapura yang mencatatkan bilangan kemasukan kedua teramai selepas pelajar-pelajar dari Malaysia setiap tahun diikuti pelajar daripada Brunei Darussalam. Maahad yang mengunakan sukatan pelajaran daripada Yayasan Islam Kelantan (YIK ) dan mengikuti sukatan pelajaran yang telah di tetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia lebih mengutamakan kepada bidang hafalan yang di wajibkan kepada para pelajar.

Jadual yang ketat dan padat tidak menghalang para pelajar untuk mencapai prestasi yang cemerlang di dalam akademik dan kokurikulumnya.Walaupun mereka menghadapi sistem belajar yang tinggi dan terlalu padat dengan seawal jam 5.30 pagi sudah di kejutkan bagi memulakan aktiviti harian pertama mereka.

Pada jam 5.30 pagi mereka akan di kejutkan untuk bersiap-siap menunaikan solat subuh berjemaah dengan memastikan kesemua pelajar berada di masjid untuk menunaikan solat bersama dengan tiada tertinggal walau seorang.Manakala pada jam 8 pagi mereka akan memulakan sesi memperdengarkan bacaan Al Quran ( Tasmie') yang di kelolakan dan di kawal oleh tenaga pengajar yang bertauliah dan berkelayakan dari Universiti Timur Tengah.Pengajian mereka di teruskan pada jam 10 pagi bagi kelas akdemik sehingga jam 12 .15 tghr dan seterusnya rehat.

Sesi mengulang hafalan yang lepas di jalankan selepas mereka menunaikan solat zohor dan akan berterusan ke waktu asar, dan mereka akan meneruskan pengajian selepas solat maghrib dan akan berkahir pada jam 10.30 malam dengan di akhiri kelas tambahan yang telah di susun atur oleh pihak pentadbiran maahad.

Maahad ini yang turut sama menawarkan sistem pengajian diploma dan pengajian pondok di tawarkan kepada setiap pelajar yang berjaya menamatkan hafalan 30 juzuk dan berjaya lulus di dalam peperiksaan STAM .

Institut Pengajian Tinggi Islam Dan Tahfiz Al Quran ( IFTITAH ), berada di dalam satu pengurusan pentadbiran MTDQ ditubuhkan pada tahun 2003 dengan menawarkan kursus di peringkat diploma selama dua tahun dan akan meneruskan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Islam dan Bahasa Arab (Madiwa) Bagan Serai Perak dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Al Azhar.

Alhamdulillah hampir kesemua pelajar peringkat diploma berjaya menamatkan pengajian di IFTITAH dan berjaya menjejakkan kaki di bumi anbiya ini, dan rata-rata dari mereka ini sudah berada di tanah Mesir dan ada jua yang meneruskan perjuangan di bumi Yaman dan Syiria.Bersyukur jua salah seorang dari penuntut IFTITAH ini berjaya menamatkan pengajian di Al Azhar dan menerima ijazah sewaktu majlis konvokesyen berlangsung baru-baru ini.

Dengan kesempatan ini daku ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang
tidak terhingga di atas segala jasa bakti dan susah payah para pengajar di bumi Kelantan khususnya Tuan Guru Abdul Rahim ( Baba Rahim ), Ust Subki Abdul Rahman ( Pengetua MTDQ ) Ust Nukman Che Amin ( Pengetua IFTITAH ) dan seluruh tenaga pengajar di MTDQ yang tidak pernah jemu mebimbing kami dengan penuh hikmah dan beretika.Tidak di lupakan jua buat adik-adik MTDQ yang amat dirindui, kenangan bersama-sama kalian tidak akan daku lupakan.

Dan teramatlah penting sahabat-sahabat IFTITAH keseluruhannya bagi sesi 2001-2004 serta rakan seperjuangan lain yang senantiasa berada di hati.Kenangan bersama kalian akan tetap bersemadi di dalam ingatan dan tidak akan daku lupakan.Moga rahmat Allah beriringan dengan kita.Amin..

Khusus buat sahabat-sahabat IFTITAH :
Tn Hj Usman Bin Fauzi - berjaya menamatkan pengajian di Al Azhar
Ust Muhaizad Bin Muhammad - Yaman
Ust Faizal - Master UM
Ust Nik Ramzi - Syiria

Ust Mustafa Bin Hj Badi- Al Azhar ( Damanhur)
Ust Zamri - Al Azhar ( Damanhur )
Ust Zulkifli -Al Azhar ( Damanhur )
Ust Sanusi - Al Azhar ( Damanhur )
Ust Ahmad Syakir - IIAIN ,(Indonesia)
Ust Saiful - Al Azhar ( Damanhur )

Ust Haris - Al Azhar ( Tanta )

Ust Hilmi -Al Azhar ( Damanhur )

Ust Atan Thowi - Al Azhar

Ust Azlie - Bekerja ( Malaysia )

Ust Azizie - Madiwa ( Malaysia )

Ust Jefry - Bekerja ( MTDQ, Malaysia)
Ust Amar - Pondok Pasir Tumbuh ( Malaysia )
Ust Mohd Shahril Surib - Al Azhar ( Tanta )
Ustazah Zainab Abdul Razak -Al Azhar ( Alexendaria)

Ustazah Siti Rohaya - Al Azhar ( Alexendaria)

Ustazah Toyibah Azizan - Yaman

Mudah-mudahan Allah S.W.T merahmati kita semua dan menemukan kita kembali di suatu masa yang akan ditetapkan bagi memastikan ilmu yang di pelajari dapat diamalkan dan disampaikan kepada seluruh anggota masyarakat yang ketagih akan ilmu.

Salam ingatan tulus ikhlas dari diri ini..moga bersua kembali..

*ZAIRIL*

Tuesday, April 24, 2007

Ukhuwah Yang Dicari

Berfirman Allah Dalam Al-Quran Yang
Bermaksud :

"Sesunguhnya Orang-Orang Yang Beriman
Itu Adalah Bersaudara, Maka
Damaikanlah Di Antara Dua Saudara
Kamu Yang Bertelagah Itu Dan Bertaqwalah
Kepada Allah Supaya Kamu Beroleh Rahmat"
- Surah Al-Hujurat Ayat 10

Bila Dua Diri Mencintai Ilahi
Bergabunglah Jiwa Bersatulah Hati
Dua Jiwa Satu Cinta...
Dua Jasad Satu Matlamat...


Bila Cinta Kerana Allah
Berpisahnya Tidak Gelisah...
Bila Rindunya Kerana Yang Satu
Bertemunya Pasti Tidak Jemu
Ukhwah Itu Indah...
Bila Bertemu Dan Berpisah Kerana Allah

Sombong Dan Bongkak ( akhir )

*Sambungan dari sombong dan bongkak siri (1)

Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang dilewatkan oleh amalannya (untuk menempah darjat yang tinggi), tidak akan di segerakan oleh keturunannya."


Sabda baginda lagi yang bermaksud :

" Tiada kelebihan si Merah atas si Hitam, atau si Arab atas si Ajam kecuali dengan taqwa kepada Allah.Kamu sekalian anak Adam, dan Adam dari tanah."


Kelebihan dan kemuliaan seseorang ke atas yang orang lain, dihitung dengan taqwa kepada Allah, bukan dengan keturunan , sebagaimana Allah S.W.T berfirman yang bermaksud :

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling banyak taqwanya kepada Allah S.W.T."
(Al Hujurat: 13)


Seandainya seseorang manusia itu menjadi orang yang paling bertaqwa kepada Allah Taala, kemudian ia menjadi seorang yang luas ilmu pengetahuannya, banyak amalannya,lalu ia mula menyombong diri terhadap manusia dan bermegah-megah pula dengan kelebihan yang ada di dalam dirinya, nescaya Allah akan menghapuskan taqwanya serta membatalkan amal ibadahnya.Betapa pula dengan seorang jahil yang telah mencampur adukkan amalannya, kemudian ia sanggup pula menyombongkan diri dengan taqwa orang lain dan ke solehan keturunannya.Bukankah itu suatu kebodohan yang luar biasa dan kejahilan yang teruk?!!..Malah kebaikan seluruhnya berada di dalam sifat merenda diri, khusyuk dan khudhu kepada Allah Taala.

Bersabda baginda S.AW yang bermaksud :

"Barangsiapa yang merenda diri nescaya Allah akan mengangkat dirinya. Dan barangsiapa yang menyombong diri nescaya Allah akan merendahkannya."


Sesungguhnya suka berdiam diri dan bersembunyi , tidak suka di angkat-angkat dirinya dan di masyhurkan dan disebut-sebut sebagai orang yang hebat.Tidak suka jua menonjolkan dan menunjuk akan kehebatan diri kepada manusia ramai malah hanya bersederhana sahaja.Ini adalah sifat-sifat hamba mukmin yang soleh dan beriman yang amat sukar untuk di cari dan di miliki.Redha di letakkan ditempat yang rendah, memakai pakaian kasar dan biasa, makan dengan makanan yang tidak lazat dan sederhana adalah selayaknya bagi seorang mukmin yang ingin mendekatkan diri kepada TuhanNya.

Oleh itu sahabat-sahabat yang di kasihi sekalian, sebelum ana mengakhiri tajuk ini suka ana mengajak diri ana yang hina lagi jahil serta banyak dosa ini serta sahabat-sahabat semua untuk memuhasabahkan diri kita dengan sebenar rasa keinsafan dan tawaduk dan berserah kepada Allah akan sejauh manakah kita di dalam memastikan diri kita dapat menghindari segala penyakit-penyakit hati ini..Moga Allah membantu kita dan mebimbing kita di dalam mendekatkan diri kepada Allah..amin..


Kenangan Itu....

Kau, Kawan, Sahabat & Teman

Ketika mula bertemu
Terasa bagai telah lama bersua
Kau sambut hulur tanganku
Bertegur sapa penuh mesra

Masa terus berlalu
Dan kita tetap
Seiringan berjalan
Menempuh onak liku
Lalui semua suka dan duka
Bersama

Biarlah apapun rahsia
dan kelemahanmu
Tetap kau temanku

Riangnya saat kita ketawa
Asyik senda dan bercerita
Walau sesekali pandangan kita berbeza
Andainya tetap serupa
Adakalanya kita juga sering terluka
Namun di akhirnya
Kita tetap bersama

Dan kini dipisahkan
Dua benua
Saling mengejar cita
Tak pernah ku lupakan
Detik yang indah bersamamu
Temanku

Ku pasti suatu masa
Engkau dan aku
Kan bertemu semula
Kembali menjalinkan
Detik nan indah
Untuk kenangan
Bersama

(Lirik dari album UNIC-TIKA)

Sombong Dan Bongkak ( 1 )

Di antara penyakit-penyakit hati yang merbahaya dan sifatnya yang membinasakan lagi ialah sombong dan bongkak, yang biasanya hanya di sifati oleh syaitan-syaitan yang terkutuk.

Allah S.W.T telah berfirman di dalam menceritakan akan perihal Iblis laknatullah yang bermaksud:

"Ia (Iblis) enggan dan menyombongkan dirinya, dan jadilah ia dari kumpulan yang tiada beriman."

(Al Baqarah : 34)

Orang yang menyombongkan diri sangat di benci oleh Allah Taala sebagaimana yang Allah S.W.T telah nyatakan di dalam firmanNya yang bermaksud :

"Sesungguhnya Dia (Tuhan) tiada menyukai orang-orang yang menyombong diri."
(An Nahl: 23)


Angkuh, bongkak dan suka membangga diri adalah sifat-sifat orang yang takbur dan orang yang membesarkan diri, sedang manusia seperti ini mudah ditutup Allah S.W.T akan hatinya, sebagaimana di dalam firman Allah yang bermaksud :

"Begitulah Tuhan menutup setiap hati orang yang sombong dan sewenang-wenang."
(Al Mu'min: 35)


Orang yang menyombongkan dirinya pula mudah terpesong dari keterangan-keterangan Allah S.W.T sebagaimana yang telah Allah nayatakan yang bermaksud :

"Akan aku pesongkan dari keterangan-keteranganKu orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi di luar kebenaran."
( Al A'raf :146)



Bersabda Nabi S.A.W , berkata Allah S.W.T yang bermaksud :

"Sifat kebersaran itu tudungKU dan sifat keagungan itu kainKU.Barangsiapa ingin merebutnya dari Aku, nescaya akan Kuhantarkannya kedalam api neraka."


Sabda Nabi lagi :


"Tidak akan memasuki syurga orang yang terdapat di dalam hatinya seberat zarrah dari sifat sombong."


Mendengar sabda baginda tersebut, seorang sahabat bertanya : Wahai Rasulullah adakalanya seseorang itu memakai baju yang cantik dan kasut yang baik.Maka berkata Nabi S.A.W :

"Sesungguhnya Tuhan itu cantik, suka kepada kecantikan.Sifat takabbur itu menentang kebenaran dan senantiasa menghina dan menghina orang lain."

Barangsiapa yang menganggap dirinya tinggi dan bermegah dengan darjatnya, lalu menghina dan memperkecilkan orang lain maka itulah orangnya yang sombong dan terkutuk.

Sifat sombong itu senantiasa berada di hati akan tetapi ketara dengan tanda-tandanya pada diri manusia.Di antara tanda-tandanya iaitu :

1) Merasa bangga melihat dirinya lebih maju daripada orang lain
2) Suka menonjolkan diri terhadap orang lain
3) Minta dikedepankan apabila berada di majlis-majlis.
4) Bergaya dan beraksi angkuh ketika berjalan
5) Membantah teguran orang lain biarpun kata-katanya salah
6) Tidak mengendahkan nasihat, atau teguran orang lain
7) Suka menindas orang Islam atau yang miskin dan lemah
8) Kerap menganggap dirinya betul dan tidak pernah salah
9) Suka memuji diri
10) Bermegah dengan datuk dan nenek yang kenamaan atau ahli agama
11) Bermegah dengan keturunan

Semua tanda-tanda ini menunjukkan sifat takabbur yang amat tercela dan buruk, yang kerap menimpa sesetengah-sesetengah anak-anak orang baik, yang tidak mempunyai pandangan yang jauh dan cetek pula akan pengetahuan ilmu agamanya.

Sesiapa yang bermegah diri dengan keturunan atau dengan datuk neneknya nescaya berkat mereka akan hilang daripadanya.Sebab mereka itu tidak pernah membangga diri atau menyombong diri terhadap orang ramai.

-tamat siri pertama-


Sunday, April 22, 2007

Memori Yang Lalu

SEBUAH PERTEMUAN

Ketika diri mencari sinar
Secebis cahaya menerangi laluan
Ada kalanya langkahku tersasar
Tersungkur di lembah kegelapan

Bagaikan terdengar bisikan rindu
Mengalun kalimah menyapa keinsafan
Kehadiranmu menyentuh kalbu
Menyalakan obor pengharapan


Tika ku kealpaan
Kau bisikkan bicara keinsafan
Kau beri kekuatan, tika aku
Diuji dengan dugaan
Saat ku kehilangan keyakinan
Kau nyalakan harapan
Saat ku meragukan keampunan Tuhan
Kau katakan rahmat-Nya mengatasi segala

Menitis airmataku keharuan
Kepada sebuah pertemuan
Kehadiranmu mendamaikan
Hati yang dahulu keresahan

Cinta yang semakin kesamaran
Kau gilap cahaya kebahagiaan
Tulus keikhlasan menjadi ikatan
Dengan restu kasih-Mu, oh Tuhan

Titisan air mata menyubur cinta
Dan rindu pun berbunga
Mekar tidak pernah layu
Damainya hati
Yang dulu resah keliru
Cintaku takkan pudar diuji dugaan
Mengharum dalam harapan
Moga kan kesampaian kepada Tuhan
Lantaran diri hamba kerdil dan hina

Syukur sungguh di hati ini
Dikurniakan teman sejati
Menunjuk jalan dekati-Nya
Tika diri dalam kebuntuan

Betapa aku menghargai
Kejujuran yang kau beri
Mengajarku mengenal erti
Cinta hakiki yang abadi

Tiada yang menjadi impian
Selain rahmat kasih-Mu Tuhan
Yang terbias pada ketulusan
Sekeping hati seorang insan
Bernama teman

Dunia Mana Yang Di Cela

Istilah dunia ialah segala yang terdapat di atas muka bumi ini dari berbagai-bagai barang dan benda yang menarik nafsu dan syahwat dan kelazatannya.Maka semua jenis benda yang menarik nafsu syahwat kita menginginkannya dan amat tertarik kepadanya serta sangat mengutamakannya, itulah yang dikira dunia yang tercela.Allah S.W.T telah mengumpulkan kesemua itu di dalam firmanNya yang bermaksud :

" Telah dihiaskan bagi manusia itu mencintai hawa nafsu terhadap wanita, anak pinaknya, kekayaan yang melimpah ruah dari emas dan perak, kuda yang tangkas, binatang-binatang ternakan dan sawah ladang.Itulah perhiasan kehidupan dunia."
( Al Imran: 14 )

Sahabat-sahabat sekalian, sesungguhnya barangsiapa yang mencintai dan mengejar semua itu serta menumpukan segala perhatian kepadanya, tiada cita-cita dan maksud yang lain daripada memuaskan nafsu dan kelazatan dunia serta merasai kenikmatannya, maka adalah kita tergolong di dalam golongan para pecinta dunia dan orang-orang yang memberikan perhatian kepada dunia.Andai kata cinta kita kepada dunia melampaui batas, sehingga kita tidak menyiasat dan mencari akan punca dan asal kita memperolehi sesuatu barang, baik dari makanan mahupun keperluan seharian dengan kita tidak mengendahkan dan mengambil kira halal dan haramnya, semuanya kita sapu bersih.

Maka apabila itu berlaku, kita pun mula melalaikan segala apa yang di perintah Allah dan apa yang Allah pinta untuk kita taati.Disebabkan terlalu sibuk dengan urusan dunia itu, sehingga akhirnya kita akan terjerumus pula ke dalam kemaksiatan dan segala yang di haramkan Allah S.W.T ke atas kita.

Apabila sudah mencapai peringkat ini maka sudah sepatutnya kita menerima ancaman dan siksa yang telah Allah janjikan gara-gara terlalu mencintai dan mengejar akan dunia sehingga melupakan dan lalai dari perintah Allah kepada kita.Khususnya kepada diri ana sendiri.

Semestinya sahabat-sahabat, kita berada di dalam ruang dan keadaan yang cukup merbahaya dan berat, perlulah kita segera bertaubat kepada Allah Taala sebelum kita menemuiNya dan sebelum kita berpindah dari kehidupan dunia yang fana ini kepada daerah yang lebih kekal dan abadi.

Moga Allah S.W.T memberi kita kekuatan untuk menghadapai segala bentuk ujian dan mehnah yang berlaku dan akan berlaku.Moga juga kita memperolehi hidayahNya agar kita dapat menjadi insan yang beriman dan berakhlak mulia keranaNya..aminn

Saturday, April 21, 2007

Nasihat Seorang Mukmin Kepada Rakannya ( akhir )

*Sambungan dari keluaran yang telah lalu

Sahabat yang di kasihi sekalian, orang yang rakus (tamak untuk memperoleh harta dunia dari sesama makhluk, rela menjual agama, rela menjual sesuatu yang baqa dengan yang fana.Tentu sahaja pada akhirnya ia tidak mendapatkan ini dan itu , kedua-duanya.Selama iman kita masih kurang maka ambillah dan perbaikilah kehidupan kita sehingga kita tidak lagi menggantungkan keperluan kita kepada manusia.Jika kita masih memerlukan manusia tentu kita akan mudah menyerahkan agama kita, asalkan kita dapat mengambil sesuatu faedah dari seseorang itu.Jika iman kita telah kuat dan tersemat di dalam hati dan sanubari kita, maka bertawakallah kita kepada Allah S.W.T dengan sebenar-benar taqwa dan ambillah jalan yang dapat menunjukkan kita keluar daripada berharap dengan makhluk, untuk senantiasa beribadah dengan ikhlas dan senantiasa mengingati Allah setiap masa dan tempat.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

"Berusahalah mengosongkan hatimu dari keprihatinan memikirkan dunia semampumu."


Sahabat-sahabat yang di rahmati Allah sekalian, jika kita mampu membebaskan diri dari terlalu asyik memikirkan akan perihal dunia ini maka cubalah kita untuk melakukan semaksima dan sebaik yang mungkin.Jika masih lagi tidak mampu untuk memperolehi dan melakukannya maka segeralah kita untuk kembali kepada Allah, mengadu merayu dan merintih.Mudah-mudahan di kurniakan akan Allah hasil daripada kesabaran dan ketabahan kita di dalam menempuhi dan mengharungi ujianNya.

Sesungguhnya Dialah zat yang berkuasa atas segala sesuatu.Berada di dalam kekuasaanNyalah segala sesuatu.Ketuklah pintuNya.Mohonlah kepadaNya agar berkenan membersihkan hati kita dari selainNya dan memenuhi sanubari kita dengan iman, makrifat, ilmu dan sifat yang tidak menyebabkan kita terlalu bergantung kepada makhluk.Mohonlah kepadaNya keyakinan yang kuat.Keyakinan yang dapat menenangkan hati kita.Sibukkan seluruh anggota kita dengan taat kepadaNya.Mohonlah segala sesuatu kepadaNya dan janganlah kepada yang selain dariNya.Janganlah kita tunduk kepada makhluk dan sesama kita.Tunduk dan rendahkanlah diri kita dengan serendah-rendahnya, seperti yang telah di sebutkan di dalam kitab Hikam karangan Syeikh Ibnu Attoilah yang maqam beliau berada di Mesir .Tempat kita berada sekarang.

Sahabat-sahabat sekalian, ucapan lisan tanpa penghayatan hati kita kepada Allah, tidak akan dapat melangkahkan kita dekat kepada Allah setapakpun.Perjalanan adalah perjalanan hati.Dekat yang hakiki adalah dekat nurani.Amal perbuatan yang sejati adalah perbuatan ma'ani' (batin) serta memelihara batas-batas syara' dengan anggota, dan tawadu' sesama manusia kerana Allah S.W.T.

Sesungguhnya sesiapa yang menunjuk-nunjuk dalam beramal dan melakukan sesuatu ibadah kerana manusia dan selain Allah, maka sesungguhnya tiadalah amal baginya.Janganlah kita menzahirkan amalan kita selain daripada perkara-perkara yang penting dan sepatutnya sahaja.

Sesuatu yang amat penting bagi kita adalah mengukuhkan bangunan yang berdiri di atas asas itu.Seandainya bangunan itu berubah tapi asasnya tetap kukuh.Asas amal adalah dan 'TAUHID ' dan ' IKHLAS ' lalu bangunlah amal-amal perbuatan, dengan kekayaan dan kekuatan Allah, bukan dengan kekayaan dan kekuatan kita.Kekuatan Tauhid adalah bangunan amal dan bukannya syirik dan nifaq.Orang yang bertauhid adalah orang yang meningkat kadar amal perbuatannya sedangkan orang yang munafik ( hipokrit ) tidak meningkat iman dan amal mereka bahkan semakin jauh dengan Allah.Nauzubillah...kepada Allah kita berlindung...amin...

YA ALLAH JAUHKANLAH KAMI DARI SIFAT MUNAFIK DAN PENYAKIT-PENYAKIT HATI YANG LAIN....

BERILAH KEKUATAN DAN KURNIAKANLAH KAMI KEBAIKAN DI DUNIA DAN KEBAIKAN DI AKHIRAT DAN PELIHARALAH KAMI DARI AZAB NERAKA...

MUDAHKANLAH BAGI KAMI DI DALAM MENEMPUHI PEPERIKASAAN YANG MENJELANG TIBA..MUDAHKANLAH YA ALLAH...

AMIN YA RABBAL ALAMIN.....

Wednesday, April 18, 2007

Nasihat Seorang Mukmin Kepada Rakannya ( 1 )

Telah berkata Syeikh Abdul Qadir Al Jailani, pada hari Jumaat bertempat di Madrasah, pertengahan bulan syawal, tahun 545 Hijrah.

"Hati sesuatu kaum itu jernih, suci dan lupa kepada makhluk.Selalu ingat Allah S.W.T.Lupa dunia, ingat akhirat, lupa terhadap apa yang dimiliki dan selalu ingat kepada Allah.Tetapi kamu sibuk dengan dunia melupakan urusan akhirat.Kamu tinggalkan urusan dunia hanya didorong rasa malu dengan makhluk.Tetapi tidak merasa malu dengan Alllah S.W.T."

Terimalah segala apa jua nasihat yang yang di berikan sesama kita, sesama mukmin.Jangan kita menyalahi sahabat kita yang menasihati kita itu .Ini disebabkan kerana sahabat kita itu mengetahui tentang diri kita yang kita sendiri tidak tahu.


Kerana Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

"Orang mukmin itu adalah cermin bagi yang lainnya."


Seorang mukmin selalu jujur dalam memberi nasihat kepada saudaranya (seiman) mahupun
menjelaskan segala sesuatu yang samar baginya.Menerangkan kepadanya hal-hal yang baik jua yang buruk.Menunjukkan pula tentang hal-hal yang bermanfaat dan yang mudarat baginya.Maha Suci Allah, Zat yang telah meletakkan di hati sanubari kita perasaan ingin memberi nasihat kepada sesama manusia yang lainnya, dan itu sememangya tugas kita sebagai pemegang panji-panji agama dan ilmu Allah.

Seelok-eloknya bagi kita sebagai manusia dan mukmin yang beriman apatah lagi kepada para pendakwah dan penuntut ilmu Allah mengikhlaskan niat hati kita di dalam menyampaikan nasihat dan dakwah kita dengan sebenar-benar kerana Allah dan bukan kerana harta benda pangkat dan jua kuasa.Sesungguhnnya kebahagiaan kita terletak pada keuntunganmu dan kesedihan kita terletak pada kehancuranmu.

Sahabat-sahabat sekalian, tumpukan harapan dan cita-cita kita.Jika kita ingin marubah sikap kepada yang lebih baik maka itu adalah tanggungjawab kita sendiri untuk merubahnya dan bukannya orang lain.Orang-orang disekeliling hanya mampu untuk memberi pandangan dan nasihat dan ia semestinya terpulang kepada diri kita sendiri untuk mengubah dan membaikinya, dan kita sememangnya sudah tahu akan setiap kelemahan dan kekurangan kita tetapi amat sukar untuk kita memperbaikinya jika ia tidak disertai dengan pengharapan dan penyandaran kepada Allah yang tinggi.

Saudara dan sahabat yang ana kasihi sekalian, ana menasihati diri ana dan sahabat-sahabat sekalian untuk meninggalkan akan sifat ini, iaitu sifat 'TAKABUR' kepada Allah S.W.T dan kepada sesama manusia.Ketahuilah darjat kita.Rendahkanlah diri kita.Mulanya kita adalah 'NUTHFAH' yang menjijikkan.Dan akhirnya akan menjadi bangkai yang busuk.Janganlah kita tergolong di dalam salah seorang yang di selaputi sifat-sifat kesombongan dan dipimpipin oleh hawa nafsu ke ambang pintu raja-raja untuk meminta kepada mereka sesuatu yang tidak menjadi hakmu atau menghina.

Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

"Siksaan Allah S.W.T yang paling pedih diberikan kepada hamba-hambaNya yang meminta-minta sesuatu yang bukan haknya."


Berkata Syeikh Abdul Qadir Al Jailani :

" Celaka !!! Hai orang-orang yang tidak mengetahui takdir dan al muqqadir.Apakah kamu mengira bahawa penghuni dunia ini sanggup memberimu sesuatu yang tidak menjadi hakmu?Sesungguhnya apa yang terlintas di dalam hati dan fikiran kita itu tadi adalah merupakan godaan syaitan-syaitan yang telah bersemayam dalam hati dan kepalamu.Engkau bukanlah hamba Allah.Tetapi hamba nafsumu, kesenangan, syaitan, naluri , harta dan dinarmu.Berusahalah bersungguh-sungguh!! raihlah keuntungan melalui cara yang selayaknya."

Begitulah sahabat-sahabat sekalian kata-kata yang di nukilkan syeikh kita yang mulia.Sesungguhnya sebahagian mereka (aulianya), semoga Allah memberikan rahmatNya kepadanya, berkata :

"Barangsiapa tidak mahu mengetahui orang yang beruntung, maka dia tidak akan menjadi orang yang beruntung.Ya engkau melihat orang yang beruntung, tetapi dengan kedua mata kepalamu, tidak dengan kedua mata hatimu .Imanmu belumlah benar.Pasti engkau tidak memiliki 'matahari' yang dapat kau gunakan melihat orang lain."


Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

"Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta tetapi yang buta adalah hati yang ada di dalam dada."
(Al Hajj : 46)

*Nantikan sambungan bagi tajuk ini.Mudahan-mudahan Allah kurniakan ke atas kita kefahaman dan kesedaran dengan bantuan dan kasih serta sayangNya.Moga kita perolehi manfaat.Aminnn..



Saturday, April 14, 2007

Kehebatan Orang Yang Alim

Hadis 2

Hadis ke dua ana ambil dari kitab karangan Kiyai Muhammad Syukeri bin Unus Al Banjari yang diterjemahkan oleh Ahmad Fahmi Zamzam atau lebih dikenali sebagai Abu Ali Al Banjari An Nadwi Al Maliki yang menyentuh mengenai kelebihan dan kehebatan orang-orang yang alim dan berilmu serta mengamalkannya.Hadis ke dua yang bermaksud :

Daripada Abdullah bin Abbas Radiallahuanhuma berkata : Telah bersabda Nabi S.A.W : " Seseorang yang alim itu lebih kuat pengaruhnya atas syaitan daripada seribu abid (yang tidak alim)."

(At Tirmizi dan Ibu Majah)


Huraian

Orang yang alim sangat ditakuti oleh syaitan, kerana si alim itu tahu caranya untuk melawan godaan syaitan dan dapat pula si alim itu memberi bimbingan kepada orang yang lain supaya selamat dari godaan syaitan, bahkan si alim itu dapat pula menyelamatkan orang-0rang yang telah di sesatkan oleh syaitan.Jadi syaitan sangat takut kepada si alim kerana dia dapat memelihara dirinya dan memberikan bimbingan kepada orang lain.

Lain halnya dengan seorang abid yang hanya menghabiskan waktunya dengan beribadat sahaja.Dia tidak dapat memberikan bimbingan kepada orang lain.Bahkan kadang-kadang ia sendiri masih dapat di sesatkan oleh syaitan.Maka di sini nyatalah bahawa seorang abid itu tidaklah mampu untuk menggugat keupayaan syaitan itu melainkan seorang abid yang alim apatah lagi faqih di dalam ilmu-ilmu yang berkaitan dengan permasalahan dan cabang-cabang dalam agama yang mampu membantu saudara segamanya yang lain agar dapat memastikan kesemua manusia memperolehi manfaat daripada ilmu dan ibadahnya.

Jika kita mengkoreksi kembali betapa pripentingya seseorang penuntut ilmu itu mengutamakan kedua-duanya baik dari sudut mengutamakan ilmunya mahupun ibadah kasih serta cinta kepada TuhanNya agar ia dapat memacukan dirinya sendiri dan memberi manfaat kepada orang lain seterusnya membantu dan memberi sumbangan kepada perkembangan Islam dengan menekankan aspek kerohanian dan kekuatan ilmu kepada setiap generasi dan kelompok masyarakat di sekelilingnya.

Semoga kita sebagai penuntut ilmu di bumi penuh barkah ini memperolehi nikmat dan barakah hasil daripada keberkatan-keberkatan doa orang yang terdahulu daripada kita.

Ya Allah kurniakanlah kekuatan ke atas kami di dalam menempuhi ujian dan rintangan di dalam menimba ilmuMu, baik ujian kebendaan mahupun ujian-ujian yang tidak kami sedari dan kami lihat.Hanya kepadaMu kami berharap dan berserah diri..amin..

Ilmu Dan Ulama ( 1 )

Pengenalan

Assalamualaikum
Salam imtihan buat sahabat-sahabat yang menuntut di bumi ardul kinanah yang akan menghadapi peperiksaan bagi semester kedua.Peperiksaan yang di jadualkan berlangsung pada pertengahan bulan 5 di setiap cawangan Universiti Al Azhar di seluruh Mesir.Walaubagaimanapun bagi meneruskan misi dakwah yang perlu di teruskan dan di pertahankan ana mengambil sedikit masa dengan meluangkan masa untuk meneruskan dakwah dengan memanfaatkan cabang-cabang dakwah yang boleh di gunakan.

InsyaAllah pada kali ini akan ana tuliskan hadis-hadis yang berkaitan dengan kelebihan ilmu dan ulama berpandukan kitab yang di karang oleh al fadil Tuan Guru ana yang di kasihi Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al Banjari Al Makki, ulama nusantara yang tidak asing lagi di tanah air dan para penuntut ilmu Allah di Mesir ini.Ana mulakan dengan hadis yang pertama yang berkisar tentang kelebihan orang yang alim.Moga Allah kurniakan kita kefahaman dan di bukakan hati untuk menerima ilmu-ilmunya..amin..


HADIS ( 1 )

Kelebihan Orang Yang Alim

Hadis yang dikeluarkan oleh Imam At Tirmizi yang bermaksud :

Daripada Abu Umamah R.A berkata: Telah disebut di sisi Rasulullah S.A.W dua orang lelaki.Pertama orang yang abid ( ahli ibadah ) dan kedua orang alim.Maka Rasulullah S.A.W. bersabda :

"Kelebihan orang yang alim atas orang yang abid adalah seperti kelebihanku atas yang paling rendah daripada kamu."

Dan dalam riwayat yang lain disebutkan "Sesungguhnya Allah dan para MalaikatNya dan penghuni segala langit dan bumi sehingga yang ada di dalam lubangnya dan ikan yang ada di laut, semuanya memohon kebaikan bagi orang-orang mengajar manusia akan kebaikan."


Keterangan dan huraian

Sangat tinggi martabat orang yang alim itu apabila dibanding dengan martabat orang abid yang tidak alim, sehingga Rasulullah S.A.W membandingkannya dengan martabat baginda sendiri bila dibanding martabat sahabat yang paling bawah sekali.Di sisi lain pula orang yang alim itu di kenali dan dicintai oleh semua lapisan penduduk langit dan bumi.Bayangkan sahabat-sahabat sekalian bagaimana Allah, malaikat dan seluruh penghuni tujuh lapis langit, begitu juga segenap penduduk bumi, manusia, jin dan haiwan sehingga semut-semut yang ada di dalam lubangnya dan ikan-ikan di laut, semua itu mencintainya dan mendoakan supaya orang yang alim tadi senantiasa mendapat kebaikan di dalam segenap kelakuannya.Berkata tuan guru ana "bahawa tidak ada orang lain yang dapat kecintaan seperti yang diperolehi oleh orang yang alim ini." Oleh itu sahabat-sahabat janganlah kita malas mencari dan menutut ilmu kerana hasilnya sangat mulia dan tinggi sekali.

Mudah-mudahan Allah memberi kita kekuatan untuk terus menuntut ilmu dan seterusnya menyampaikannya kepada yang lain.InsyaAllah...

Tamat hadis yang pertama..nantikan hadis yang kedua..

Thursday, April 12, 2007

<<< Sekalung Penghargaan >>>

Assalamulaikum..
Pertamanya untuk warkah kali ini ana tujukan khas buat sahabat-sahabat ana yang senantiasa bersama-sama ana selama ini.Dengan sokongan dan bantuan daripada kalianlah dapatlah ana meneruskan dan mengagahkan diri untuk terus berjuang bersama-bersama di dalam bidang penulisan.

Memanfaatkan cabang-cabang di dalam bidang dakwah perlu di gunakan dengan sebaik-baiknya.Memandang kepada situasi dan senario yang amat membimbangkan di tanah air mutakhir ini, ana terdorong untuk bersama dengan sahabat-sahabat di meja pena bagi menyahut seruan membantu dan berdakwah kepada semua peringkat umur dan ingin melihat lahirnya generasi-generasi yang benar-benar di asuh dan di ajar mengikut acuan Al Quran dan Assunnah di suatu hari nanti.InsyaAllah..

Dalam masa yang sama ana ingin mengucapkan ribuan ucapan penghargaan kepada sahabat-sahabat yang amat prihatin di dalam setiap tulisan yang ana nukilkan.Itulah tanda bersungguh-sungguhnya sahabat-sahabat di dalam menilai sesuatu fikiran.Dengan ana yang baru berjinak-jinak di dalam alam penulisan ini banyak yang perlu ana perbaiki dan muhasabah setiap masa, mungkin disana ana ada terlepas pandang dan itu adalah kelemahan ketara yang perlu ana perbaiki dari masa ke semasa.

Di kesempatan ini ana ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada sahabat-sahabat ana khususnya pada seorang ustazah dari Universiti Malaya(UM) yang baru-baru ini telah menghantar komentarnya terhadap isi di dalam blog ana ini.Amat ana hargai, mungkin isi yang cuba ana ketengahkan tampak kepada unsur duniawi dan kesenangan nafsu semata, dan ia ternyata bersalahan dengan kedudukan ana sendiri sebagai penuntut ilmu yang tidak selayaknya mengutarakan isi-isi sedemikian.

Akhirnya ana ingin mengucapkan ribuan terima kasih pada insan-insan ini yang banyak memberikan komentar dan pandangan sepanjang wujudnya blog ini, iaitu Cik Azrina Albat (UITM), Ustazah Siti Zainab Abdul Razak ( Al Azhar ) dan Ustazah Norzalisa Mariani Idris (UM).Semoga rahmat Allah mengiringi kalian.

Salam kemaafan jua, buat mereka yang ada tersentuh hati dan tercalar akibat dari kalam yang ana tuliskan.Jika ada permasalahan berbangkit rujuklah kepada ana dan InsyaAllah akan ana cuba untuk memperjelaskannya.

Sekian salam ukhuwah kasih serta sayang dari ana sendiri..

Ikhlas dari sudut hati yang kerdil ini,

al faqir wa al haqir illallah wan nas

Kalam_sufi assubky attontowi

Wasiat Sultanul Aulia

Wasiat Sultanul Aulia

Syeikh Abdul Qadeer Al Jailani

Wahai Manusia

Taatlah kepada Allah sebagaimana orang-orang yang terdahulu taat kepada Allah supaya Allah senantiasa bersamamu sebagaimana mereka yang terdahulu mendampingi dengan Allah, sembahlah Dia dan sabarlah denganNya dan redhalah dengan apa yang dilakukanNya kepadamu

"Orang-orang yang baik tidak ditakluki oleh dunia dan dunia itu mereka takluki dengan taqwa kepada Allah".Mereka bersungguh-sungguh menuntut hari akhirat.Mereka takluki nafsu angkara murka, mereka taat kepada Allah yang Maha Besar.Mula-mula sekali mereka berpidato kepada nafsu mereka kemudian itu barulah kepada orang lain.

Wahai hamba-hamba Allah!!! Mula-mula kawallah nafsumu, kemudian barulah mengawal orang lain.Sucikanlah nafsumu dan janganlah kira orang lain kerana anda terpaksa membersihkan banyak perkara.Ketahuilah dirimu sendiri sedang tenggelam.Bagaimana hendak menunjuk jalan kepada orang lain?

Hanya orang yang pakar berenang yang boleh menyelamatkan orang yang sedang tenggelam dan hanya orang tidak buta yang boleh menunjuk jalan.Hanya orang yang mempunyai maa'rifatullah yang membimbing orang lain kepada Allah.Bagaimana orang yang tidak ada ma'rifah membawa orang lain kepada Allah S.W.T.

Selagi ada cinta kepada Allah S.W.T dan bertindak kerana Allah, bukan kerana yang lain dan selagi kita takut kepada Allah dan bukan kepada yang lain maka kamu tidak akan ada kuasa untuk mengkritik perbuatan Nya.Hal ini dapat dicapai dengan menyucikan dan bukan bergaul dengan orang ramai.Apabila tauhid berada di muka pintu tetapi syirik berada di dalam rumah, maka ini adalah munafik.Kasihan! kamu soleh dengan perkataan tetapi berdosa dengan perbuatan.Lidah anda bersyukur tetapi kelakuanmu tidak menunjuk kepada terima kasih.

Allah S.W.T ada berfirman :

"Wahai anak-anak Adam, yang baik datang dariKu kepada kamu tetapi dosa datang darimu."


Kasihan!! dirimu mengatakan hamba Allah tetapi sebenarnya dirimu menghambakan diri kepada yang lain dari Allah.Jika sebenarnya anda menghambakan diri kepada Dia, tentulah dirimi cinta kepada Dia.Mukmin sebenarnya tidak memenuhi nafsunya atau syaitan atau dosa dan maksiat.Dia langsung tidak tahu syaitan itu.

Taat adalah patinya.Dia tidak peduli sedikitpun dunia ini sebaliknya si mukmin mencari perkara akhirat.Dan apabila perkara itu didapatinya dia pun tidak peduli lagi hal itu dan bersatu dengan Allah Yang Maha Besar setiap ketika.Dia menyembah Allah kerana Allah, tidak kerana yang lain.

*Begitulah amanat yang di tinggalkan oleh Syeikh Abdul Qadeer Al Jailani yang disampaikan dari generasi ke generasi.Ana tuliskan semula pesanan ini yang ana terima dari Tuan Guru Fauzi Bin Mastur yang menurunkan ijazah kepada ana.Moga dengan pesanan dan amanat ini menjadi panduan dan bimbingan di sepanjang aktiviti harian kita.amin...

Salam ibadah ikhlas dari ana buat semua..moga ibadah kita diterima ALLAH..amin...


Tuesday, April 10, 2007

Cinta Menurut Pandangan Islam ( 3 )

Cinta Dunia Remaja : Tragedi Yang Menyayat Hati

Tidak ada orang yang boleh mendakwa dirinya lari daripada mainan perasaan. Asal saja ia bernama
manusia, maka sekaligus dirinya akan dicuba dengan mainan nafsu yang bagaikan lautan ganas yang begitu
kuat bergelombang. Salah satu darinya ialah mainan cinta.

Tidak sedikit orang yang rebah kerana cubaan ini.Dalam berbicara persoalan peringkat pembinaan ‘cinta lutong’, As-Syauqi pernah bermadah :

Benar kata Syauqi, cinta lutong ini bermula dengan mainan mata yang tidak mempunyai sempadannya, ia
kemudiannya diikuti dengan sahutan suara dan saling berhubung. Sampai peringkat tersebut, amat sukar sekali bagi pasangan cinta untuk tidak bertemu dan berdating sekaligus mendedahkan diri kepada aksi yang
lebih hebat. Oleh kerana itulah, Islam dalam menjaga kesucian cinta dari dicemari oleh unsur-unsur nafsu
meletakkan batasan pandangan seorang muslim dan muslimah.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“..Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandanganmereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam
PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan...”

(Surah An-Nuur, ayat 30)

Betapa bahayanya cinta lutong ini boleh dilihat apabila pasangan yang dhanyutkan olehnya tidak akan
berupaya untuk berfikir secara waras lagi. Setiap detik dan masa yang berlalu tidak akan sunyi dari
memikirkan persoalan cinta mereka. Setiap saat, jiwa sudah tidak mampu lagi untuk tenteram sekiranya tidak
didodoikan dengan suara halus dan lunak yang berbicara dengan kata-kata yang hanya layak diperdengarkan di
dalam kelambu. Sudah berkubur cita-cita perjuangan dan sudah lebur harapan masyarakat yang dipikulkan di atas bahu, yang ada hanyalah kehendak memuaskan hati pasangan masing-masing. Lantas, di saat demikian,
layakkah orang yang hanyut ini diharapkan memikul tanggungjawab melaksanakan tugas penting membimbing
masyarakat?

Apakah penyelesaian terhadap permasalahan ini? Jalan yang paling baik ialah perkahwinan. Rasulullah SAW
pernah bersabda yang bermaksud :

“..Wahai golongan pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan. Maka sesiapa yang tidak berkemampuan, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal iaitu benteng nafsu..”

(Bukhari dan Muslim )

Selain daripada perkahwinan yang tentunya merupakan perkara yang hampir mustahil untuk dilaksanakan dalam
dunia seorang penuntut ilmu, maka Rasulullah SAW mencadangkan puasa sebagai jalan terbaik melepaskan
diri dari kekangan nafsu yang meronta-ronta. Selain daripada itu, Islam sama-sekali tidak membuka pintu
yang lain. Selain daripada perkahwinan, tidak dapat tidak, hanyalah kawalan terhadap jiwa mampu
menyelamatkan diri sendiri dari turut terjun dalam arus ganas cinta lutong.

Sesungguhnya cinta sebelum perkahwinan adalah cinta palsu yang walaupun dihiasi dengan rayuan-rayuan halus
namun ia adalah panggilan-panggilan ke lembah kebinasaan! Dan sekalipun kekosongan jiwa daripada cinta lutong secara zahirnya adalah penderitaan dan kesunyian yang begitu hebat, namun itulah hakikat
cinta sejati kepada Allah. Andainya hati dihiasi dengan rayuan-rayuan syaitan yang seringkali mengajak ke arah melayan perasaan, maka hilanglah di sana cita-cita agung untuk menabur bakti kepada Islam
sebagai medan jihad dan perjuangan.

Percayalah, masa muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali berlalu dalam hidup. Ia tidak akan
berulang lagi untuk kali kedua atau seterusnya. Meniti usia remaja dengan berhati-hati dan mengenepikan
mainan perasaan adalah merupakan perkara yang amat sukar sekali. Apatah lagi, semakin dihambat usikan
perasaan, semakin ia datang mencengkam dan membara. Namun, itulah mujahadah melawan perasaan. Sekadar
perasaan dan diri sendiri menjadi musuh, alangkah malunya untuk kita tewas terlalu awal. Usia emas yang
diberikan ini alangkah baiknya andainya digunakan sebaik mungkin menggali sebanyak mana anugerah di bumi
ilmu.

Namun, kita manusia boleh tertewas bila-bila masa sahaja. Tidak kira siapapun kita. Sekalipun kita arif
malah benar-benar mengetahui bahawa yang hadir hanyalah sekadar tipuan, namun kita bisa rebah dalam
ketewasan yang kita sendiri sebenarnya merelakannya.

Oleh yang demikian, apakah yang akan menyelamatkan selain keimanan, ketakwaan dan kecekalan?kepada Allah kita berharap dan berserah diri..moga rahmat ALLAH beserta bantuanNya tetap mengiringi ktia di setiap masa dan urusan seharian kita..amin Ya Allah...

Cinta Menurut Pandangan Islam ( 2 )

Apakah Kedudukan Cinta Di Dalam Islam?

Adakah Islam memusuhi cinta? Adakah sebegini kejam sebuah agama yang disifatkan menepati fitrah? Sebenarnya tidak. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan
fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Namun,cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai
peringkat keutamaannya yang tersendiri :

1. Cinta kepada Allah


Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia ialah cinta kepada Allah. Ketinggian nilai
taqarrub Al-Abid kepada Khaliq dapat dikesan melalui cinta murni mereka kepada Pencipta. Tanpa cinta kepada Allah perlakuan hamba tidak memberi pulangan yang bererti sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan dan menyintai Allah.Sinaran cinta itu jua akan mendorong hamba bertindak ikhlas di mihrab pengabdian diri kepada Allah serta menghasilkan cahaya iman yang mantap.

Firman Allah SWT:

“..(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi)
sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah, sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah...”

Memiliki cinta Allah seharusnya menjadi kebanggaan individu mukmin lantaran keagungan nilai dan ketulusan
ihsan-Nya.Namun menjadi suatu kesukaran untuk meraih cinta Allah tanpa pengabdian yang menjurus tepat
kepada-Nya. Cinta Allah umpama satu anugerah yang tertinggi dan tidak mungkin sesiapa dapat memilikinya
kecuali didahulukan dengan pengorbanan yang mahal.Cinta Allah adalah syarat yang utama untuk meletakkan
diri di dalam barisan pejuang-pejuang kalimah AllahSWT.

Firman Allah SWT (yang bermaksud) :

“..Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antarakamu berpaling tadah dari ugamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir...” (Surah Al-Maidah, ayat 54)


2. Cinta Kepada Rasulullah SAW dan para anbiya’

Apabila manusia berada di dalam kegelapan yang begitu kelam,maka diutuskan pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Sayang, pembawa obor tersebut terpaksa
begelumang dengan lumpur yang begitu tebal dan menahan cacian yang tidak sedikit untuk melaksanakan tugas
yang begitu mulia.

Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah SAW. Maka adalah menjadi satu kewajipan kepada kepada setiap
yang mengaku dirinya sebagai muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para ambiya’. Kerana
kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi
mempertahankan Rasulullah SAW. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim menyebut :

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Nabi s.a.bersabda:

" Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan
memperolehi kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan RasulNya lebih daripada selain keduanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah
menyelamatkannya dari kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam Neraka."

Namun, dalam suasana kita sekarang yang begitu jauh dengan Rasulullah SAW dari segi masa, adakah tidak
berpeluang lagi untuk kita memberikan cinta kepada Rasulullah SAW? Sekalipun Rasulullah SAW telah
meninggalkan kita jauh di belakang, sesungguhnya cinta terhadap baginda boleh dbuktikan melalui kepatuhan
serta kecintaan terhadap sunnahnya. Oleh yang demikian, orang yang memandang hina malah
mengejek-ngejek sunnah Rasulullah SAW tentunya tidak boleh dianggap sebagai orang yang menyintai Rasulullah SAW.


3. Cinta Sesama Mukmin

Interaksi kasih sayang sesama mukmin adalah merupakan pembuluh utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan yang begitu utuh. Cinta sesama mukmin inilah yang mengajar manusia supaya menyintai ibubapanya. Malah mengherdik ibubapa yang bererti merungkaikan talian cinta kepada keduana adalah merupakan dosa besar sebagaimana yang disebut di dalam satu hadis yang
diriwayatkan oleh Abu Bakrah r.a katanya:

“Ketika kami bersama Rasulullah s.a.w, baginda telah bersabda: Mahukah aku ceritakan kepada kamu sebesar-besar dosa besar: Ianya tiga perkara, iaitu mensyirikkan Allah, mengherdik kedua ibu bapa dan bersaksi palsu atau kata-kata palsu..”

( Hadis riwayat Bukhari, dan Muslim )

Alangkah indahnya sebuah agama yang mengajar penganutnya agar menghormati dan menyintai kedua
ibubapanya yang telah melalui susah payah untuk membesarkan anak-anak mereka. Di manakah lagi
keindahan yang lebih menyerlah selain daripada yang terdapat di dalam Islam yang mengajar umatnya dengan
pesanan :

“..Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimanamereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."

(Surah Israk, ayat 24)

Selain daripada cinta kepada kedua ibubapa ini, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin yang berimana
sebagai syarat kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah SAW. Hayatilah betapa
dalamnya maksud firman Allah SWT :

“..Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...

(Surah Al-Fath, ayat 29)


Malah, Al-Quran sendiri menukilkan betapa pujian melangit yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan
Ansar yang ternyata menyintai golongan Muhajirin dengan cinta suci yang berasaskan wahyu Ilahi. Malah
dalam keadaan mereka berhajat sekalipun, keutamaan tetap diberikan kepada saudara-saudara mereka dari
golongn Muhajirin. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“..Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat
berhajat. ..”
(Surah Al-Hasyr, ayat 9)

Bukankah ini yang telah diajar oleh Islam? Maka di tengah-tengah kecaman keganasan yang dilemparkan
kepada Islam pada hari ini, kenapa tidak masyarakat antarabangsa malah umat Islam sendiri melihat bahawa
betapa agungnya unsur kasih sayang dan cinta yang terdapat di dalam Islam? Namun, betapa agungnya cinta
di dalam Islam, begitu jualah agungnya penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya agar sama sekali tidak mencemarkan kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.

Itulah cinta di dalam Islam. Ia tidak dapat tidak haruslah diasaskan di atas dasar keimanan kepada
Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan
dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenangnya-wenangnya

Begitulah sahabat-sahabat.Cinta terhadap sesama manusia perlulah di sandarkan kepada Allah S.W.T agar ia mengalir dan sejajar dengan kehendak Islam bagi melahirkan umat dan generasi Islam yang berkualiti dan beriman dengan Allah, beriman dengan sebenar-benar iman..amin..

*Nantikan sambungan edisi ke 3

Monday, April 9, 2007

Cinta Menurut Pandangan Islam (1)

Cinta Menurut Pandangan Islam


“..Ya Allah Engkau Tuhanku.. Tiada tuhan melainkan Engkau.. Engkau cinta agungku.. Nabi Muhammad pesuruhMu..”

Bait-bait nasyid kumpulan Quturunnada di atas sering mengingatkan kita kepada hakikat cinta yang sebenar. Bagi saya sendiri, makna serta irama yang dibawa oleh Qutrunnada ini benar-benar menyentuh jiwa apatah lagi di tengah-tengah kerancakan irama nasyid ala-KRU yang mewarnai dunia nasyid pada masa sekarang.


Apakah cinta sebenarnya?

Cinta sebenarnya menepati
satu angka perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan membantutkan tumbesaran manusia. (diambil dari sebuah artikel)

Kesenian cinta yang berasaskan tuntutan fitrah tanpa dikhianati oleh hawa syahwat merupakan lambang kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsai keghairahan nafsu dan kejahatan iblis laknatullah. Demi kemakmuran manusia sejagat, kita mesti menangani fenomena cinta dengan
nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah.

Permasalahan cinta antara yang dihadapi secara serius oleh umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dan cinta palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah memapah umat Islam ke medan pertembungan yang memusnahkan etika spritual-membunuh solidariti
dan menodai sosial.

Sebagai insan mukmin sewajarnya peka terhadap kehadiran cinta di dalam jiwa. Cinta yang berpaksikan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah cinta palsu yang penuh jijik dan dihina.

Menyedari hakikat ini, ana akan cuba untuk menggagahkan diri bercerita soal cinta secara ringkas menurut pandangan Islam. Apatah lagi dalam suasana masyarakat remaja khususnya tertipu dan terbawa-bawa dengan taikh 14 Februari yang kononnya ialah hari Kekasih. Maka sibuklah bagi pasangan yang bercinta berbicara soal cinta yang lebih menjuruskepada cinta karut-marut yang bertemakan mainan perasaan yang sama sekali terseleweng dan lari dari kehendak Islam.

Semoga Allah memberikan ganjaran terhadap usaha
yang kecil ini dalam membersihkan jiwa kita dari sebarang permainan perasaan yang hanya akan menyesatkan fikiran.

Saturday, April 7, 2007

Hati itu....


Hati itu tersentuh...dan tersentuh lagi..terguris lalu tersentak hingga membawa menitisnya airmata manis seorang srikandi..meresap kedalam jiwa dan mindanya..membawa kepada satu tindak balas yang menzahirkan apa yang tersembunyi di dalam hati nurani seorang insan yang baik budi pekerti dan lemah lembut serta sopan prilakunya..mungkinkah ini realiti dan hakikat hati seorang wanita yang sudah semestinya akan bergelar isteri jua ibu tatkala masa yang di janjikan itu sudah tiba..

Wanita yang memiliki seribu segala macam perasaan dan jiwa yang agak sukar untuk kita selami dan fahami melainkan insan-insan yang Allah kurniakan sifat belas ihsan, kasih serta sayang yang dapat mengenal pasti dan menyelami jiwa-jiwa kecil ini.Mereka ini amat suka dibelai dan dimanja.Tetapi apakan daya tidak semua hajat dan permintaan yang menggunung dapat kita penuhi.Sudah pastinya akan ada sedikit sopak dan cacatnya.Impian dan cita-cita yang dipegang dan diikat kuat, berpegang dengan keazaman serta semangat juang yang tinggi sahaja, dijadikan sebagai modal kekuatan dan harapan.Tetapi sedarkah kita akan realiti dan hakikatnya bahawa betapa ramai di kalangan kita yang terkecewa dek cita-cita dan impian yang dibina tidak kunjung tiba dan terhempas di tengah jalan lalu berkecai terkulai layu.Maka akan ada hati-hati yang terluka dan bersugul hiba.Tidak tentu arah aktiviti harian hidupnya.Apakan daya,kita sebagai manusia sudah sedia maklum bahawa manusia hanya mampu merancang dan hanya Allah yang bisa menentukannya.Walau apa cara sekalipun doa mesti terus menerus dipanjatkan dan usaha perlu digarapkan agar ia senantiasa berada di jalur dan jalan yang ditetapkan bersesuaian dengan apa yang telah dirancangkan.

Sememangnya kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak apatah lagi untuk memuaskan hati insan yang senantiasa bersama dengan kita tatakala suka dan duka.Mereka inilah insan yang tiada pernah jemu untuk menemani dan memahami jiwa dan perasaan permata dan mutiara bagi hatinya.Mereka ini jua yang tidak mengenal erti jemu dan bosan dengan karenah-karenah yang dilakukan buah hatinya.Mereka ini jua menyimpan perasaan dan memendam rasa di atas keegoan dan kekerasan yang dilakukan oleh pemilik sementara hatinya.Sukar untuk kita temukan dan amat sulit untuk kita peroleh apatah lagi untuk kita miliki.Tetapi adalah tidak mustahil untuk kita pertemukan.Hanya berbekalkan iman dan niat yang ikhlas serta pengharapan jua sandaran kepada Allah Rabbul Jalil sahaja dapat membantu dan menyelesaikan permasalahan ini..

Begitulah hati....

Hati yang mengandungi seribu macam hal..hati yang mengandungi perasaan,rindu dan kasih terhadap TuhanNya, dengan tidak melupakan perasaan yang timbul antara sesama manusia..hati yang menelan manis dan pahit di dalam kehidupan seharian dan ia terpulang kepada individu itu sendiri sama ada ia mampu atau tidak untuk mengendalikan dan menguruskan permasalahan yang akan berbangkit di masa mendatang dengan bijaksana atau sebaliknya..

Di kesempatan yang terhad ini daku sendiri sebagai insan yang kerdil lagi hina serta banyak dosa ini ingin memohon ampun dan maaf kepada sahabat-sahabat yang terasa hati dengan karenah yang terbit dari hati ini..disebabkan daripada penulisan dan perkataan-perkataan yang telah ku lafazkan telah menyebabkan sesetengah individu yang berkecil hati denganku..daku sekali lagi memohon ampun dan maaf ikhlas dari sudut hati kecilku ini..

Salam kemaafan buat semua..

al haqir wal faqir illallah wan nas

-assubky attontowi-