Tuesday, March 20, 2007

Hubungan Iman Dengan Cinta

Dari Abi Hamzah Anas bin Malik r.a khadam Rasulullah s.a.w dari Nabi s.a.w sabdanya:
" Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya ."

Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim

Syarah bagi hadis ini :

Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dari Abi Hamzah Anas bin Malik seorang sahabat yang terkenal menjadi khadam Rasulullah s.a.w selama sepuluh tahun.Jika kita rujuk dan melihat akan sejarah Islam..ibunya pernah meminta kepada Rasulullah supaya didoakan untuk anaknya (Anas bin Malik) agar banyak hartanya, anaknya dan panjang umurnya.Rasulullah s.a.w telah berdoa dan Allah S.W.T telah menerima doa dari Nabi s.a.w.Maka berbuahlah pokok tamarnya setahun dua kali, dan ramailah anaknya sehingga seratus orang serta panjangla usianya selama 99 tahun.Banyak hadis yang telah beliau riwayatkan iaitu sebanyak 2,286 hadis.

Perkara Hubungan Iman Dengan Cinta

Pada hadis tadi Rasulullah s.a.w ada menerangkan hubungan iman seseorang dengan cinta, iaitu cinta atau kasih sayang terhadap saudaranya sama seperti cintanya kepada dirinya sendiri.Cinta ini dihubungi dengan iman sehingga kurang iman kerana kurang cintanya.Dan cinta yang dimaksudkan ialah cinta yang didasarkan kepada agama bukan kepada peri kemanusiaan semata-mata.

Imam Nawawi dalam huraian hadis ini menjelaskan:

"Bahawa lebih utama pengertian saudara dalam hadis ini digunakan seluas-luasnya sehingga meliputi orang yang kafir dan yang Islam.Menurut pengertian ini tambah beliau, maka wajiblah seorang muslim mencintai atau mengasihi saudara-saudaranya yang Islam supaya kekal terus dalam agama Islam.Dan kerana ini menurut katanya doa untuk orang kafir agar dikurniakan hidayah adalah disukai."

Erti tiada beriman pada hadis ini adalah tidak sempurna iman bukannya ketiadaan iman dari orang yang tidak cinta kepada saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri.Cinta yang dimaksudkan ialah cinta untuk memperolehi kebaikan dan manfaat.Kemudian cinta itu bukanlah kerana cinta tabiat kemanusiaan tetapi kerana roh agama.Kerana tabiat manusia sememangnya tidak suka melihat orang lain mendapat kebaikan atau orang lain itu berbeza kedaan darinya.

Akibat Tidak Cinta

Imam Nawawi seterusnya berkata lagi :

" Bahawa apabila seseorang tidak mencintai saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri, maka ia adalah seorang pendengki."

Menurut al Imam al Ghazali rahimhulahu taala, ada tiga macam muslim yang tidak mencintai saudaranya kita dapat mengetahui melalui tanda-tanda ini :

1) Bercita-bercita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah nikmat itu kepadanya.

2) Bercita-cita supaya hilang nikmat tersebut sekalipun ia tidak mendapatnya.Kerana berkemungkinan dia telah mempunyai nikmat itu atau tidak menyukai akan nikmat itu.Yang kedua ini jahat bencananya dari yang pertama.

3) Tidak bercita-cita hilang nikmat itu dari orang lain tetapi dia tidak suka melihat orang itu lebih tinggi keadaan daripadanya atau lebih banyak mendapat bahagian daripadanya. Apa yang disukainya ialah biarlah sama taraf sahaja tiada siapa yang lebih.Yang ketiga ini pun diharamkan juga, kerana terang-terangan tidak suka kepada pembahagian Allah yang diterangkan di dalam Firmannya yang bermaksud :

"Adakah mereka yang berhak membahagi-bahagikan kurnia Tuhan engkau? Kami telah bahagi-bahagikan diantara mereka ini kehidupan mereka di dalam dunia ini." (al zuhruf:32)

Daripada hadis ini dapatlah kita mengetahui bahawa seseorang yang beriman hendaklah menjadi orang yang sempurna imannya dengan mengasihani saudara-saudaranya sama seperti ia mengasihi peribadinya sendiri, baik baginya baik jua bagi saudaranya, buruk baginya buruk jua bagi saudaranya.Tidak ada baginya perbezaan hingga yang baik adalah untuknya sedang yang buruk adalah untuk saudaranya.

Kesimpulannya

1) Hadis ini menunjukkan betapa mustahaknya perasaan kasih sayang di antara orang yang beriman, hingga dipertalikan atau dihubungakn iman itu dengan perasaan yang tersebut serta kesempurnaan dan kekurangannya .

Orang yang beriman sebenarnya orang yang bertimbang rasa terhadap saudaranya.Gembira dan duka adalah perasaan yang dirasai bersama. Orang yang beriman dalam hidup pergaulan adalah sebagai kata-kata peribahasa:

" Berat sama dipikul ringan sama dijinjing "
" Gunung sama didaki lurah sama dituruni "
" Mendapat sama berlaba, kehilangan sama berugi "

Semua itu berlaku kalau perasaan muhibbah atau saling cinta mencintai dan kasih sayang itu meresap kelubuk jiwasebagai seorang mukmin yang sejati.

2) Menunjukkan betapa pentingnya perasaan kasih sayang tersebut didasarkan kepada iman untuk menjadi asasnya yang kuat.Kerana di atas dasar inilah sahaja yang dapat diletakkan persatuan yang berjiwa persaudaraan yang bersih, terhindar dari anasir-anasir perpecahan dan permusuhan.Dan inilah yang dikehendaki dari pengajaran ayat Al Quran yang terang-terang menyatakan seperti berikut:

"Dan berpeganglah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah."
(al Imran : 103)

Ayat Allah ini bermaksud supaya kalian orang yang beriman berpegang teguh pada tali Allah, tali yang dilarang diputus-putuskan oleh perasaan benci membenci, pandang-memandang disebabkan berlainan kedudukan dan taraf mahupun aliran fahaman yang akhirnya nanti akan menyebabkan hilangya dan pupusnya perasaan cinta sesama insan...

Kepada Allah kita berdoa agar kita semua disatukan atas nama Islam dan Iman...amin...

No comments: