Saturday, February 24, 2007

-Renungan bagi hati siri 5-

*sambungan dari siri ke-4

Alhmdulillah kita bertemu lagi didalam memastikan ilmu dan dakwah ini terus berjalan dan mengalir seperti deras dan lajunya air..pada siri yang lepas telah ana nyatakan betapa pentingnya kita memilih sahabat sebelum kita ingin benar-benar menjadikan seseorang itu sahabat sejati...maka akan ana selesaikan sambungan tajuk yang lepas..

Pada renungan yang lepas ayat berakhir dengan sesiapa yang mencintai orang-orang saleh peribadinya yang telah mendasarkan seluruh amal dan baktinya di atas taqwa kepada Allah, sedang cintanya itu pula dalam jalan Allah dan semata-mata kerana Allah, nescaya tiada mustahil ia akan membenci pula orang-orang yang suka melakukan maksiat dan selalu membelakangi perintah-perintah Allah, yang segala perilakunya kontra kepada yang pertama tadi.Sebab cinta kerana Allah dan benci kerana Allah adalah dua gejala yang tidak akan terpisah antara satu sama lain dan tidak mungkin yang satu sahaja ada tanpa yang lain .Sebab kedua-duanya mesti bersama atau bersatu.

Sabda Rasulullah s.a.w :

"Seteguh-teguh pegangan iman, ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah."

Sabda baginda yang lainnya berbunyi :

"Seutama-utama amal ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah."

Sabda baginda lagi:

"Hanyasanya agama itu ialah cinta kerana Allah dan benci kerana Allah."

Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Nabi Isa a.s :


"Seandainya engkau beribadat kepadaKu sepenuhnya (selengkapnya) ibadah penghuni langit dan penghuni bumi, sedang cinta keranaKu tidak ada, dan benci keranaKu pun tidak ada, nescaya tiada berguna semua ibadah itu kepadaKu."


Maka berkata Nabi Isa a.s pula:

"Cintailah Tuhan dengan membenci orang-orang yang melakukan maksiat dan dekatkanlah dirimu kepada Tuhan dengan menjauhkan diri dari orang-orang yang berdosa itu, serta pohonlah keredhaan Allah dengan mengutuk mereka itu."


Berkata Hasan al Basri rahimahullah Taala :

"Memutuskan perhubungan dengan orang fasiq adalah suatu pendekatan diri kepada Allah."

Kini jelaslah wahai sahabat-sahabat ku bahawa sangat perlu bahkan wajib atas setiap mukmin mencintai orang-orang yang suka membuat kebajikan, orang-orang yang patuh kepada perintah agama, orang-orang yang lurus perjalanannya semasa mereka hidup dan selepas matinya. Disamping itu hendaklah ia membenci pula orang-orang yang suka membuat kemungkaran, orang-orang yang melanggar perintah Allah, orang-orang yang zalim dan fasiq semasa mereka hidup dan sesudah mati.

Wajib jua atas setiap mukmin memilih persahabatan dengan orang-orang yang baik dan orang yang suka berbakti, serta menjauhkan diri dari orang-orang yang jahat dan orang-orang yang suka melanggar perintah dan larangan agama.

Tersebut di dalam sebuah hadis :


"Jangan anda bersahabat kecualu seorang mukmin, dan janganlah anda membiarkan makanan anda dimakan kecuali seorang yang bertaqwa."


Sesiapa yang tiada seorang mukmin yang bertaqwa, seseorang yang saleh yang berbakti untuk dijadikan kawan atau sahabat yang dapat bercampur bergaul dengannya, maka mengasingkan diri atau tinggal seorang diri adalah lebih baik baginya, dan terlebih baik baginya daripada bergaul dengan orang-orang yang jahat, dan yang mempunyai akhlak yang teruk.Ini disebabkn kerana berlawan dan bercampur gaul dengan orang yang rosak akhlaknya akan memberi impak yang besar kepada seseorang yang tidak cukup ampuh untuk menangani ujian sebegitu besar.

Ada disebutkan didalam serangkap bait syair arab yang berbunyi:

"Jangan terburu-terburu mengukur orang
Ukurlah dahulu teman yang berada sekelilingnya
Sifatnya akan menjadi terang
Bila bersama para temannya


Penyair lain pula menambah dan bermadah:

"Si pesakit kurap mana boleh baik dengan berdampingan dengan orang yang sihat
Tetapi yang segar dan sihat boleh dijangkiti kurap apabila mereka duduk berdekatan"


Dengan jalan ini sahabat-sahabat semua faham betapa banyaknya faedah apabila kita bercampur dan bergaul dengan orang-orang yang baik, dan orang-orang yang lurus perjalanannya, sama ada faedah dan manfaat itu dapat dikesan secara spontan, mahupun pada masa yang akan datang.

Telah bersabda Nabi s.aw:

" Perumpamaan teman yang saleh laksana penjual minyak wangi. Sama ada ia akan memberi anda sedikit atau anda akan memberli daripadanya sedikit ataupun anda sekurang-kurangnya boleh menghirup bau wanginya. Dan perumpamaan teman yang jahat laksana tukang besi peniup api. Sama ada ia akan membakar baju anda ataupun anda akan mencium bau busuk daripadanya"


Sekiranya berlaku seseorang itu berkawan dengan seorang yang baik peribadinya, selalu melakukan ketaatan kepada Allah tetapi tidak semena-mena tabiatnya berubah pula sehingga ia menjadi lalai dan tercebur kedalam maksiat, maka apakah yang patut kita lakukan?

Jawabnya adalah, hendaklah kita menasihati sahabat kita itu dengan lemah lembut danberhikmah sehingga kita boleh mengembalikan kejalan Allah. Jika ia sedar kita bersyukur kepada Allah, jika tidak maka hendaklah kita mengingatkan tentang kesalah-kesalahannya itu, serta takutkannya dengan balasan Allah yang dahsyat.Jika ia sedar dan kembali menjadi baik semula seperti sediakala, maka kembalilah kita berkawan dengannya semula.Jika maka tidak ada gunanya berkawan dengan orang yang jahat, yang tidak akan mendatangkan kebaikan dari bersahabat dengannya.

Begitulah sahabat betapa perlunya kita berhati-hati didalam memilih sahabat...yang menggelar sahabat itu ramai tetapi seramai manakah yang menghayati ertikata sahabat yang sebenarnya...bersama kita muhasabah dan renungkan-renungkan..kepada Allah kita mengadu dan berharap...

*Tamat bagi siri 4 dan 5



No comments: