Tuesday, February 20, 2007

-Renungan bagi hati siri 3-


Mencintai Allah dan kerana Allah
Asas persahabatan ialah setia dalam bercinta antara satu sama lain dan tulus ikhlas dalam berkasih sayang, selagi ia dihalakan kepada Allah dan kerana Allah, maka pahalanya adalah amat besar.

Sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis Qudsi :

"Allah telah berfirman: Pasti mendapat kecintaanKu bagi dua orang yang saling sayang menyayangi keranaKu, dua orang yang duduk bersama-sama keranaKu, dua orang yang kunjung mengunjung keranaKu, dan dua orang yang tolong menolong keranaKu."

Sabdanya lagi didalam sebuah hadis Qudsi yang lain:

"Berfirman Allah Taala di hari kiamat : Mana dia orang-orang yang bercinta-cintaan kerana keagunganKu.Hari inilah Aku akan menaungi mereka di bawah naunganKu, iaitu hari yang tiada naungan selaian naunganKu."

Sabdanya lagi :

" Sesiapa yang ingin merasakan kemanisan iman, hendaklah ia mencintai sesorang, tiada mencintainya kerana Allah."

Dalam sebuah sabda Rasulullah s.a.w tersebut: Tujuh orang yang akan dinaungi Allah dibawah naunganNya, pada hari tiada naungan selain naunganNya. Baginda telah menyebutkan satu persatu orang-orang itu sehingga katanya:

" Dan dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah, kedua-duanya berkumpul dan berpisah kerana Allah."

Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan bermesra dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah dan taat setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cinta kerana Allah Taala.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya kerana orang itu membantunya didalam selok belok agama, dan mengarahkannya untuk berlaku taat terhadap TuhanNya, maka hal itu juga dikira bercinta kerana Allah.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya didalam urusan dunia yang mana dengannya pula ia boleh mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk cinta mencintai kerana Allah.

Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu, dan didadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya, ataupun barangkali orang dapat menolongnya didalam urusan dunianya, dan di dalam hal ehwal kehidupannya, yang menerusinya ia boleh hidup senang lenang, maka cinta serupa itu adalah cinta tabe'i, cinta biasa yang tidak ada kena mengena sedikitpun dengan Allah. Persahabatan itu timbul kerana kecenderungan diri semata-semata, dan meskipun demikian ia tetap harus hukumnya, tidak sunyi dari kebaikan .Mudah-mudahan Allah mengampuni diri kita..amin..

Adapun jika ia bersahabat kepada seseorang, kerana orang itu boleh menemaninya untuk pergi ketempat maksiat, atau membantunya untuk menganiaya orang, ataupun memimpin dan menunjuknya ke jalan-jalan fasiq dan mungkar, maka persahabatan serupa itu dan kecintaan seperti itu adalah persahabatan yang dicela dan kecintaan yang tidak berguna, kerana ia menarik kita ke jalan syaitan, yang tidak kena mengena sedikitpun dengan Allah.Persahabatan dan kecintaan serupa inilah yang akan bertukar menjadi permusuhan di akhirat, malah kadangkala belum sempat untuk tiba akhirat di dunia sudah tak tentu hala..porak poranda.

Firman Allah s.w.t:

"Sahabat-sahabat pada hari itu, satu sama lain bermusuh-musuhan kecuali orang-orang yang bertaqwa" (az-zuhruf 67)

No comments: