Friday, February 16, 2007

-Renungan bagi hati siri 3-


Alim yang beramal dan alim yang mencampur aduk

Ketahuilah, bahawasanya alim yang beramal dengan ilmunya, dan yang dikira di sisi Allah dan RasulNya, sebagai ulama agama dan ulama akhirat, mempunyai bukti dan tanda, yang dengannya kita dapat membezakan antaranya dengan alim yang mencampur aduk , yang dikira disisi Allah dan RasulNya sebagai ulama jual ubat, menurut hawa nafsu dan mengutamakan dunia dari akhirat.

Tanda ulama akhirat itu ialah selalu merendah diri, takut, bimbang, khuatir akan amarah Allah Taala, zuhud pada mata benda dunia, cukup dengan sedikit, membelanjakan apa yang lebih dari keperluan, memberi nasihat kepada orang ramai, menyayangi dan berbelas kasihan terhadap mereka, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat jahat , suka membuat kebajikan, melazimkan diri dengan amal ibadah, menganjurkan segala kebaikan, menyeru kejalan yang benar, sentiasa berdiam diri, tenang, bersopan santun, berbudi pekerti mulia, berlapang dada, lemah lembut, pandai memikat kaum mukminin, tidak sombong, tidak bercakap kasar, tidak bercakap besar, tidak tamak hak orang, tidak terlalu mengambil berat terhadap dunia, tidak melebihkannya dari akhirat, tidak mengumpul harta, tidak menahan hak orang lain, tidak kejam, tidak bertengkar ,atau bermusuh-musuhan,atau bengis, tidak buruk pekerti, tidak sempit dada, tidak selalu menghadap pemerintah, tidak berdiam diri terhadap kelakuan mungkar jika berkuasa, tidak inginkan pangkat, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan, malah ia sentiasa benci terhadap semua sifat-sifat itu, tidak berkecimpung dalam sesuatu perkara atau melibatkan diri, kecuali jika perlu dan dharurat saja.

Kesimpulannya, bahawa sifat para ulama akhirat itu sentiasa menepati sifat-sifat yang dianjurkan oleh Ilmu pengetahua, dan ditunjuk oleh akhlak yang terpuji dan amal saleh, sambil menjauhi diri dari apa yang ditegah oleh ilmu pengetahuan, seperti akhlak yang terpuji dan diredhai Allah dan Rasulnya.

Sifat mulia para ulama akhirat yang disebutkan diatas tadi, sepatutnya diikuti oleh orang mukmin, lebih-lebih lagi atas orang-orang yang berilmu, maka yang demikian itu sangat dituntut dan amat diutamakan kerana ia sebagai petunjuk jalan yang dituntut dan pemimpin yang diikut.Jika ia sesat dan hilang pegangan serta melebihkan dunia atas akhirat, maka ia akan menerima dosanya dan dosa orang-orang yang mengikut jejak langkahnya.Tetapi jika ia lurus dan bertaqwa kepada Allah, nescaya ia akan menerima pahalanya dan pahala orang-orang yang mengikut jejak langkahnya juga.

Tamat siri 3

No comments: