Monday, May 14, 2007

Adab-Adab Bergurau Senda 2 (siri akhir)

Alhamdulillah sahabat-sahabat sekalian, kita telah mengetahui akan adab-adab ketika sedang bergurau senda dengan sahabat-sahabat yang berada berhampiran kita.Oleh itu ana akan meneruskan sambungan bagi siri kedua (siri akhir) yang akan menyentuh adab-adab di dalam bergurau senda ini, mudah-mudahan kita semua dapat mengambil faedah dan manfaat daripadanya..amin..

Adab-adab bergurau senda :

6. Tidak menyakiti orang lain

Gurauan hendaklah tidak mengandungi unsur-unsur yang menyakiti perasaan salah seorang di antara pendengar yang sedang mendengar akan apa yang kita bicarakan.Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

"Janganlah seseorang di antara kamu mengambil barang-barang temannya, apakah itu hanya gurau senda atau sungguh-sungguh, dan jika ia telah mengambil tongkat temannya, maka ia harus mengembalikan kepadanya".

Jika kita melihat akan adab senda gurau yang ke enam ini, ingin ana mengajak diri ana dan sahabat sekalian akan sejauh mana kita berjaya menjaga dan memelihara diri kita daripada melukakan atau mengguris perasaan sahabat kita tatkala kita berkomunikasi dan bergurau dengan mereka, perlulah kita menjaga batas-batas tatkala ingin bergurau dengan mereka .Di sebalik senda gurau dan hilai tawa, adakah kita pasti dan yakin yang kita tidak melukakan hati-hati sahabat kita?..bersama kita timbang-timbangkan...

7. Tidak bergurau senda pada masaalah yang penting

Sahabat-sahabat bukan semua perkara dapat kita gurau sendakan tetapi ada beberapa perkara yang perlu kita bersungguh dan serius Jangan sesekali kita bergurau senda pada perkara-perkara yang serius dan penting ini kerana ia boleh membawa kepada kemudaratan dan apa yang dikeluarkan dan kita perkatakan tidak akan diterima orang lain.Antara tempat-tempat yang perlu kita bersungguh-sungguh dan serius adalah di hadapan Qadi, majlis ilmu, dan sebagainya mengikut tempat, suasana dan keadaan.

8. Menjauhi perkara yang diharamkan semasa bergurau

Tidak boleh bergurau senda pada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah S.W.T kepada seluruh manusia.Antara perkara yang diharamkan adalah :

8.1 Menakutkan muslim dengan bergurau

Sesetengah daripada kita membiasakan diri bergurau senda bersama sahabat-sahabat di sekilingnya dengan menakut-nakutkan samada dengan perkataan atau perbuatannya.Melakukan sesuatu yang menakutkan sehingga tampak di wajah sahabat kita ketakutan yang jelas terpancar atau tidak berasa tenteram dengan tidak semena-semena. Kita dilarang melakukan hal sedemikian walaupun untuk sekadar bersuka-suka dengan sahabat sendiri.Nabi pernah bersabda yang bermaksud :

"Janganlah seseorang daripada kamu mengambil harta saudaranya samada dengan bergurau atau bersungguh ( serius )".
(Riwayat Abu Daud dan At Tirmidzi)

8.2 Berdusta semasa bergurau senda

Kebanyakan kita pada hari ini tidak mengambil berat tentang bergurau senda ini sehingga kita melakukan secara menipu.Sedangkan menipu atau dusta ini tidak dibenarkan oleh agama kita.Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

"Aku penjamin sebuah rumah di dalam syurga untuk mereka yang meninggalkan pendebatan, sekalipun dia benar, dan sebuah rumah di tengah syurga untuk mereka yang meninggalkan dusta walaupun dia bergurau dan sebuah rumah di dalam syurga yang paling tinggi (martabatnya) untuk mereka yang baik akhlaknya".
(Riwayat at Tabrani)

Nabi kita yang tercinta senantiasa berkata benar tatkala bergurau senda apatahlagi jika tidak bergurau, semestinya nabi senantiasa berkata yang benar dan tidak berkata berdusta.Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku bergurau senda dan aku tidak berkata kecuali perkara yang benar".
(Riwayat At Tabrani)

8.3 Menuduh orang lain dengan tuduhan yang keji

Seelok-eloknya kita menjauhi daripada menuduh mana-mana individu muslim samada untuk bergurau dengan tuduhan yang hina apatah lagi dengan mencacinya.Bergurau senda dengan berkata "wahai anak zina" dan sebagainya dengan tujuan untuk bergurau adalah tidaklah selayaknya bagi kita untuk berkata sebegitu rupa.Mudah-mudahan Allah S.W.T melindungi kita daripada melafazkan serta melakukan perkara yang sedemikian..amin..

9. Memilih orang tertentu untuk bergurau senda

Kita tidak boleh bergurau senda dengan orang yang lebih tua daripada kita seperti pakcik-pakcik yang sememangnya perlu kita beradab dengan mereka atau sahabat-sahabat kita yang tidak menggemari gurau senda, mungkin ia tidak dapat menerima gurauan itu atau bergurau senda dengan wanita-wanita yang bukan mahram kita.Kita ditegah memperbanyakkan gurauan kerana dibimbangi menjadi tabiat yang boleh menyebabkan jatuhnya kewibawaan kita dan mudah untuk orang lain mempermainkan kita.

10. Tidak bergurau dengan anggota

Hendaklah menjauhi daripada bergurau dengan anggota samada melalui tangan atau anggota-anggota kita yang lain seperti memukul atau menendang sahabat kita dengan berniat bergurau, dibimbangi sahabat kita itu tidak dapat menerima gurauan kita hatta dengan mencuit sekalipun, ditakuti sahabat kita itu sedang mengalami masaalah dan tidak beberapa elok perasaannya maka akan berlakulah pelbagai perkara yang akan merebak ke hatinya dan akan terhasillah perasaan benci dan dendam..nauuzubillah..

Namun kita dibolehkan bergurau senda menggunakan tangan dengan sahabat-sahabat yang sudah biasa dengan kita dan yakin dia mampu menerima gurauan kita itu dengan berlapang dada dan terbuka.

11. Menjauhi banyak ketawa

Terlalu banyak ketawa boleh membawa kepada matinya hati dan sukar menerima sebarang nasihat dan kebenaran.Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

"Janganlah perbanyakkan ketawa, sesungguhnya banyak ketawa menyebabkan matinya hati".
(Riwayat Ibnu Majah)

Begitulah sahabat-sahabat sekalian beberapa adab tatkala bergurau senda dengan sahabat-sahabat kita yang mampu ana kongsi bersama.Mudah-mudahan kita mampu lakukan akan apa yang telah di sarankan dan meninggalkan apa-apa yang dilarang.Moga Allah S.W.T memberi kita kekuatan dan perlindungan agar kita mampu menempuhi segala bentuk ujian yang tiba...amin...