Friday, May 11, 2007

Adab-Adab Bergurau Senda ( 1 )

Sahabat-sahabat sekalian terkadang kita di dalam keadaan bersuka ria dan ada juga kadang-kadang kita berada di dalam keadaan penat dan pelbagai lagi keadaan-keadaan yang lain.Kehidupan kita ini juga dihiasai dengan gurau senda bagi mengubat kepenatan dan permasalahan.Di sisi agama kita Islam membolehkan umatnya bergurau senda dan bersuka ria tetapi tidak berlebihan-lebihan sehingga lalai dan alpha dari mengingati Allah S.W.T, ini kerana Nabi kita juga pernah melakukan sedemikian.Akan tetapi terdapat beberapa syarat dan adab yang perlu kita patuhi dan pelihara tatkala kita sedang bergurau senda.Antara adab-adab semasa bergurau senda adalah :

1. Niat yang ikhlas

Sahabat-sahabat sekalian bergurau senda bagi tujuan untuk menghilangkan kelesuan, menjauhkan daripada sifat malas dan ingin merehatkan tubuh badan sehingga badan kita menjadi lebih cergas.Bukan dengan bertujuan untuk mengaibkan atau memalukan sesiapa atau mana-mana individu.Tujuan bergurau senda adalah ingin mengikut apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.Ikhlaskanlah niat kita semasa bergurau senda kerana perkara demikian akan mendatangkan kebaikan dan keceriaan kepada sahabat-sahabat dan manusia di sekitar kita.

2. Tidak mengandungi nama-nama Allah

Gurauan hendaklah tidak mengandungi nama Allah, ayat-ayatNya, sunnah RasulNya atau syiar-syiar Islam.Kerana Allah telah berfirman tentang orang-orang yang mempermain-mainkan sahabat Nabi S.A.W, firman Allah .S.W.T yang bermaksud :

"Dan jika kamu tanyakan kepada mereka tentang apa yang mereka lakukan, tentulah mereka menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja". Katakanlah:"Apakah dengan Allah dan ayat-ayatNya dan RasulNya kamu selalu berolok-olok?".Tidak usah kamu minta maaf kerana kamu kafir sesudah beriman".

(Surah at Taubah: 65-66)

3. Menyatakan perkataan yang benar

Gurauan itu hendaklah benar dan tidak mengandungi pendustaan.Juga hendaklah tidak mengada-adakan cerita-cerita supaya orang lain akan tertawa dengan apa yang kita sebutkan dan perkatakan.Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

Rasulullah S.A.W telah bersabda : " Celakalah bagi orang-orang yang berbicara lalu ia berdusta supaya orang ramai ketawa dengannya.Celakalah baginya dan celakalah baginya".
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan At Tirmizi)


4. Tidak berlebih-lebihan

Agama kita menggalakkan kita supaya melakukan sesuatu perkara tanpa berlebih-lebihan atau melampaui batas atau terlalu kurang.Bahkan di dalam agama kita menggalakkan umatnya supaya melakukan gurau senda dengan berpada-pada.

Sesetengah daripada kita gemar berlebih-lebihan dengan tanpa kita sedari gurauan dan lafaz yang keluar daripada lidah dan mulut kita menyebabkan ada hati yang terluka.Ramai juga dari sahabat-sahabat kita kerap kali terlepas pandang akan permasalahan ini sehingga menyebabkan ada yang membawa hati lalu akan menimbulkan dendam dan dengki jika tidak di kawal dengan iman dan kesabaran yang tinggi.

Bergurau senda secara berlebih-lebihan akan menyebabkan adanya individu-individu yang merasa diri diaibkan dan rasa dipermain-mainkan.Ingatlah barangsiapa yang melakukan perkara sedemikian maka ia akan direndahkan oleh Allah dan jatuhlah maruah dan akan hilanglah kehebatannya.

5. Tidak bergurau senda dengan mereka yang tidak boleh menerimanya

Menjauhi daripada bergurau senda dengan orang yang tidak boleh menerima gurauan kita, sama ada kanak-kanak, orang dewasa ataupun orang tua.Fikirkanlah dahulu sebelum kita ingin bersenda gurau kerana di bimbangi apa yang kita guraukan itu boleh menyebabkan ada sahabat-sahabat kita yang tidak mampu untuk menerimanya.

Oleh itu sahabat-sahabat sekelian ana mengajak diri ana dan juga sahabat sekalian agar dapat berfikir sejenak dan memuhasabah diri kita, adakah selama ini kita ada menyebabkan sahabat-sahabat di sekeliling kita berasa hati dengan kita gara-gara perkataan yang kita lafaz dan ucapkan.Mudah-mudahan Allah memberi kita petunjuk..amin..

*Nantikan siri kedua bagi tajuk ini...

No comments: